KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan awal OECD UK National Contact Point (UK NCP) yang memutuskan untuk menerima aduan yang difailkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dengan sokongan UNI Global Union, berhubung tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad terhadap pekerja-pekerja bank itu.
HSBC itu didakwa telah gagal untuk menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif yang telah ditandatanganinya dengan NUBE.
Pada pandangan UNI-MLC, keputusan awal UK NCP yang mendapati sebahagian aduan yang dibuat oleh NUBE dan UNI Global Union adalah sah, dengan sendirinya menunjukkan ada sesetengah majikan di Malaysia termasuk HSBC, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, tidak menghormati undang-undang buruh dan tidak menghormati hak dan kebajikan para pekerja.
UNI-MLC juga mendapati aduan yang dibuat oleh NUBE dan UNI Global Union dan keputusan UK NCP menunjukkan aduan yang dibuat oleh Kesatuan adalah sesuatu yang serius dan wajar diberi perhatian oleh HSBC dengan menganggap para pekerja dan kesatuan sekerja sebagai rakan kongsi atau aset yang penting dalam pembangunan organisasi dan negara.
Pihak HSBC Bank Malaysia tidak wajar menggunakan kesempatan pandemik Covid-19 demi kepentingan sendiri syarikat, kata Presiden UNI MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.
Oleh itu, UNI-MLC berharap pengurusan HSBC dengan segera akan mengambil langkah-langkah konstruktif, iaitu kembali ke meja perundingan untuk mengadakan perbincangan dengan NUBE bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan selama ini sementara UK NCP mencari jalan penyelesaian yang harmoni dalam pertikaian perhubungan perusahaan.
Katanya, UNI-MLC juga berpandangan mahkamah bukan medan penyelesaian yang muktamad kepada segala penyelesaian isu-isu yang timbul sebaliknya
boleh diselesaikan dengan baik menerusi meja perundingan atas semangat menang-menang dan memelihara semangat perhubungan perusahaan.
”Kami yakin tiada isu yang tidak boleh diselesaikan di meja perundingan. UNI-MLC berharap Pengurusan HSBC Bank Malaysia Berhad akan berbesar hati
dan akan menggunakan pendekatan terbuka untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit demi kepentingan pekerja, bank itu sendiri dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Malah, ujar beliau, sebagai sebuah syarikat multinasional yang telah menikmati banyak kelebihan polisi kerajaan yang membantu pihak pelabur dan pemodal, UNI-MLC berharap HSBC akan menghormati kepentingan peranan para pekerja yang majoritinya terdiri daripada rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette