Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak yang berkaitan termasuk ahli-ahli Parlimen diminta supaya mengkaji dengan lebih mendalam berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan data-data terbaharu berkaitan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, lebih 93 peratus rakyat Malaysia sudah disuntik dos pertama vaksin tersebut manakala, 78 peratus telah menerima lengkap dos kedua namun gejala penyakit itu masih berleluasa.

Katanya, ramai dalam kalangan rakyat telah kehilangan ahli keluarga dan ramai juga di antara mereka hidup dalam pelbagai bentuk kesusahan.

“Kematian demi kematian disebabkan jangkitan
Covid-19, termasuk kematian mengejut tidak lama selepas vaksinasi, dibuang kerja kerana risau akan risiko menerima vaksin dan pelbagai isu lain.

“Kerajaan telah berulang kali menyatakan bahawa vaksin tidak akan diwajibkan, tetapi situasi hari ini secara tidak langsung menunjukkan seolah kerajaan melalui agensi-agensi nya mahupun swasta, menampakkan kepada rakyat seperti cubaan untuk mewajibkan penerimaan vaksin yang masih diragui ramai ini.

“Pihak kerajaan mesti berpegang kepada kenyataan asal, yang dinyatakan oleh Parlimen tentang kebebasan memilih. Pihak kerajaan mesti melindungi dan menghormati mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin ini sebagai satu-satunya langkah pencegahan,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Toqqi.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Isu Paksaan dan Keselamatan Vaksin Buatan Baharu Covid-19 secara virtual hari ini.

Nadzim berkata, wakil rakyat merupakan golongan yang lebih proaktif untuk membantu rakyat selepas dipilih untuk mewakili suara mereka di Parlimen.

Disebabkan itu katanya, adalah wajar untuk ahli-ahli Parlimen mengetengahkan perkara berkenaan demi mendapatkan keadilan kepada rakyat secara keseluruhan.

Ujarnya, mereka juga perlu mencari pendapat kedua daripada pakar-pakar lain yang ingin bersuara melawan arus perdana. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast