Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Perbezaan antara cadangan kerajaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengenai pindaan berhubung umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik hanya tempoh masa sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan asal kerajaan untuk melaksanakan perkara itu pada September 2022 sedangkan mahkamah memutuskan pada Disember tahun ini.

“Saya dapati dari sudut perundangannya tidak ada perbezaan ketara antara pendirian pihak Peguam Negara dengan mahkamah. Hanya berkaitan memendekkan masa sahaja.

“Sebabnya cadangan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pelaksanaannya ialah sehingga September 2022 tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan pelaksanaan mesti disiapkan pada 31 Disember 2021.

“Saya telah berbincang dengan SPR, kita memutuskan untuk patuh kepada keputusan mahkamah dan tidak akan membuat rayuan,” katanya pada sesi jawapan lisan di Parlimen hari ini.

Menurut Wan Junaidi, sebelum ini, Parlimen telah meluluskan usul berkaitan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, yang mana tugasan SPR kini ialah membuat persiapan bagi melaksanakan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan itu.

Persiapan itu meliputi pindaan kepada peraturan-peraturan pilihan raya pendaftaran pemilih 2022 dan undang-undang lain yang berkaitan serta penyediaan SOP bagi melaksanakan cadangan itu.

“Di samping itu, SPR juga telah mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan sebelum kelayakan umur dan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan.

“Antaranya membuat semakan maklum bakal pemilih, semakan di lapangan yang melibatkan bakal pengundi berumur 90 tahun ke atas, semakan di lapangan ke atas alamat untuk memastikan bahagian pilihan raya yang tepat dan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan.

“Kita juga akan mengadakan program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih dan penyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun dengan kekurangan dan kekangan, SPR komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendafataran pemilih secara automatik dilaksanakan mengikut keputusan Mahkamah Tinggi.

Katanya, pada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu juga, kerajaan telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan dan patuh kepada keputusan mahkamah.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengatakan bahawa undi 18 akan dilaksanakan bersekali dengan pendaftaran automatik, tidak boleh dipisah.

“Kalau kita nak memisahkan perkara ini, kita kena meminda perlembagaan sekali lagi. Akhirnya kerajaan buat keputusan tak payah dipisah, kita akan laksanakan mengikut apa yang mahkamah telah beri arahan kepada kita,” ujar beliau. – MalaysiaGazette