R. Sivarasa

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan untuk menambahkan waktu perbahasan bagi membolehkan ahli Parlimen berbahas secukupnya.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa (PH) berkata, waktu 10 minit yang diperuntukan kepada setiap ahli Dewan tidak sesuai kerana ada antara mereka terpaksa memendekkan topik perbahasan disebabkan masa sudah habis.

“Saya mohon ahli Dewan diberikan masa yang lebih dari 10 minit malah jumlah hari bersidang juga perlu ditambah.

“Kita tengok di United Kingdom, mereka bersidang antara 160 hingga 170 hari setahun sedangkan kita di Malaysia bersidang hanya 60 hari sahaja setahun.

“Jika jumlah hari dipanjangkan, kita boleh berbahas dengan masa yang cukup. Ini akan menjadikan Parlimen kita lebih berkesan dan peranan pembangkang untuk semak dan imbang juga berjalan dengan baik,” katanya pada sesi menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Menurut Sivarasa, cadangan yang dibangkitkan itu sesuai dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk melihat Parlimen lebih efektif dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau memohon untuk kerajaan menambah jawatankuasa pilihan khas dengan pengerusinya dilantik masing-masing separuh daripada pembangkang dan kerajaan.

Ini katanya, supaya perjalanan jawatankuasa itu dapat dilakukan dengan lebih telus sebagaimana Parlimen bersidang.

“Sekarang jawatankuasa pilihan khas ini dijalankan secara tertutup dan rahsia sehingga isi kandungannya tidak diketahui oleh rakyat dan Ahli Parlimen.

“Contoh, semalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bermesyuarat, rakyat tidak tahu, Dewan Rakyat pun tidak tahu. Ini kena ubah dan tukar,” katanya.

Beliau juga minta kerajaan mempertimbangkan permohonannya supaya selepas ini diperuntukan tempoh 13 hari khusus untuk urusan pembangkang mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bersendirian dan usul tertentu dengan perbahasan secara berhemah.

Katanya, yang ada sekarang adalah perbahasan dan perbincangan mengenai topik serta urusan kerajaan sahaja. – MalaysiaGazette