Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kesan pandemik Covid-19 telah mengubah corak permintaan pengguna yang memberikan penekanan kepada ekonomi digital khususnya perdagangan elektronik (e-dagang).

Justeru, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah memperuntukkan satu bab khas berkaitan e-dagang bagi membantu meningkatkan penyertaan perniagaan terutama industri kecil dan sederhana (IKS).

Bab itu telah mensyaratkan negara anggota untuk menerima pakai kerangka undang-undang yang mewujudkan persekitaran kondusif demi kemajuan sektor e-dagang negara masing-masing dan seterusnya di peringkat antarabangsa.

“Selain peruntukan mengenai penggunaan dan penyebaran data, bab ini turut menekankan perlindungan maklumat peribadi pengguna, terutama dari segi pemindahan maklumat rentas sempadan melalui medium elektronik.

“Yang mana ini semua akan meningkatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan platform e-dagang dan seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi serantau.

“Penekanan RCEP terhadap pengukuhan kerangka undang-undang dan kawalselia dalam sektor pertumbuhan ekonomi baru seperti sektor e-dagang ini membantu mempercepat proses pemulihan ekonomi serantau yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19,” katanya pada sesi menjawab lisan di Parlimen hari ini.

Kata Mohamed Azmin, RCEP telah ditandatangani 15 negara iaitu 10 negara anggota ASEAN dan lima negara rakan FTA ASEAN sewaktu Sidang Kemuncak RCEP Ke-4 pada 15 November tahun lalu.

Lanjutan daripada itu, negara anggota RCEP mengambil langkah domestik bagi meratifikasi perjanjian tersebut, mengikut lunas perundangan negara masing-masing.

Berdasarkan peruntukan dalam Perjanjian RCEP, ia akan berkuatkuasa selama 60 hari setelah sekurang-kurangnya enam negara anggota ASEAN dan tiga negara rakan FTA ASEAN menyerahkan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN.

Sehingga kini, katanya, negara yang telah meratifikasi perjanjian itu adalah Singapura, China dan Jepun, manakala Myanmar menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN dan Thailand melengkapkan proses ratifikasi domestik serta akan menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN hujung tahun ini.

“Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-53 pada 9 September lalu, negara-negara anggota ASEAN telah menyasarkan tarikh kuatkuasa Perjanjian RCEP pada 1 Januari 2022.

“Negara seperti Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Vietnam telah memaklumkan hasrat untuk melengkapkan proses ratifikasi domestik menjelang November ini.

“Malaysia pula memberikan komitmen untuk melengkapkan proses ratifikasi pada pertengahan Disember tahun ini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, proses ratifikasi RCEP bagi Malaysia memerlukan pindaan dibuat ke atas tiga Akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang berkaitan Hak Harta Intelek (IPR) iaitu Akta Paten (Patent), Akta Hak Cipta (Copyright) dan Akta Cap Dagang (Trademark).

“Ini bagi memastikan akta tersebut sejajar dengan obligasi negara di bawah perjanjian itu. Dalam hal ini, MITI dimaklumkan KPDNHEP bahawa draf pindaan akta tersebut sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara dan memberi jaminan akan dibentang untuk perbahasan di Parlimen pada Disember tahun ini.

“Sekiranya Malaysia lewat meratifikasi perjanjian ini, negara akan ketinggalan dalam menikmati faedah dan layanan keutamaan seperti yang terkandung dalam RCEP.

“Antara manfaat sekiranya Malaysia meratifikasi perjanjian ini adalah pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan di kalangan negara-negara anggota RCEP,” katanya.

Beliau kemudian menekankan, RCEP merupakan satu perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia dengan pasaran meliputi hampir sepertiga penduduk dunia atau 2.2 bilion orang.

Menurut data Bank Dunia pada 2019, nilai gabungan Keluaran Produk Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara-negara anggota RCEP sebanyak AS$25.8 trilion (RM106.9 trilion) atau 29.44 peratus KDNK dunia, dengan nilai perdagangan barangan RCEP dicatatkan berjumlah AS$10.4 trilion (RM43.1 trilion) atau 29.13 peratus.

“Tidak dinafikan rantau ASEAN akan mendapat banyak manfaat serta faedah hasil daripada perjanjian ini. Oleh itu, amat penting bagi Malaysia menyegerakan proses ratifikasi RCEP,” katanya. – MalaysiaGazette