Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam peringkat menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang lama.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebelum akta itu dibentangkan di Parlimen, kementeriannya akan mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada semua pemegang taruh, termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Kata beliau, usaha itu untuk memastikan akta baharu akan merangkumi aspek perundangan lebih komprehensif dan tersusun bagi membolehkan lebih ramai penagih, penyalahguna dadah dan substan dapat menerima rawatan serta pemulihan sewajarnya.

“Isu penyalahgunaan dadah ini perlu ditangani menggunakan pendekatan bersepadu, pelbagai disiplin, saling sokong menyokong dan seimbang antara pengurangan permintaan dan penawaran.

“Justeru, kerjasama daripada semua pihak diperlukan bagi membolehkan bekas klien terus bersemangat dan beristiqamah untuk kekal pulih serta menjauhi dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

“Kementerian saya komited untuk memastikan matlamat Malaysia Sejahtera Tanpa Dadah dan Dadah Terkawal 2025 dapat direalisasikan,” katanya berucap merasmikan Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Hari Kepulihan AADK peringkat Kebangsaan 2021 bertemakan “Solidariti Kepulihan” secara atas talian, hari ini.

Turut hadir bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon.

Menurut Hamzah, tema “Solidariti Kepulihan” sangat bertepatan dengan usaha AADK untuk terus meningkatkan kadar pengekalan kepulihan dalam kalangan klien dan memberikan peluang kedua kepada bekas klien untuk kembali berbakti kepada masyarakat.

Beliau yakin perkongsian ilmu melalui pelbagai segmen yang disediakan dalam simposium itu mampu meningkatkan keupayaan serta kemahiran semua pihak bagi memastikan indeks kepulihan klien kekal melepasi 70 peratus setiap tahun.

Katanya, simposium itu juga salah satu cara KDN melalui AADK untuk mengembleng usaha dan mengiktiraf potensi kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh pemimpin komuniti, NGO, klien AADK dan bekas klien seramai 1,500 peserta.

“Sehingga 31 Ogos lalu seramai 47,863 klien telah menerima rawatan dan pemulihan di AADK seluruh negara.

“Ini membuktikan perkhidmatan pemulihan kepada individu yang terkesan adalah tidak terjejas ketika pandemik Covid-19, malah penggunaan teknologi ditingkatkan bagi memastikan semua klien mendapat akses rawatan.

“Saya harap segala usaha kesukarelawanan dalam membantu pemulihan klien terus dipelbagaikan dengan usaha yang lebih kreatif dan berkesan,” katanya.

Kata Hamzah, lebih penting lagi, pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat harus dilakukan secara konsisten bagi menyedarkan mereka penagihan dadah adalah pesakit yang perlu dirawat.

Katanya, KDN juga telah memohon peruntukan khusus berjumlah RM10 juta melalui Belanjawan 2022 bagi merancakkan lagi aktiviti dan usaha mengekalkan kepulihan bekas klien di seluruh negara untuk tahun hadapan.

“Tahun ini, bagi membuktikan kepulihan adalah tidak mustahil dan boleh dicapai, AADK telah memperkenalkan satu inisiatif baharu dalam mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di AADK.

“Banyak kejayaan dicapai oleh program AADK. Maka tahun ini, seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri telah dilantik menjadi role model kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pendekatan ini secara tidak langsung memberikan kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan masalah dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti yang disediakan AADK,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru semua pihak meneruskan kerjasama erat sedia ada sebagai tanda solidariti dan keprihatinan kerajaan dalam usaha memerangi ancaman dadah di Malaysia.

Hamzah juga menyeru AADK terus menerokai kaedah serta program pemulihan berteknologi moden bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah agar setanding ataupun lebih baik daripada negara luar. – MalaysiaGazette