HEILONGJIANG – Bandar Harbin yang mempunyai 10 juta penduduk akan menjalani sekatan pergerakan separa susulan jangkitan Coviod-19 buat pertama kali sejak awal Februari lalu.
Tiga daripada 16 kes tempatan baharu yang dilaporkan di China pada 21 September adalah di Harbin, kata Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) pada hari Rabu.
Kes penularan tempatan yang terakhir dilaporkan di bandar adalah pada 4 Februari.
Bandar ini kini diletakkan dalam amaran yang tinggi susulan peningkatan kes penularan Covid-19.
Setakat ini penularan Covid-19 tidak dikaitan dengan varian Delta yang melanda di Fujian, terletak kira-kira 2,000 kilometer dari sini.
Fujian merekodkan 13 kes varian Delta.
Harbin, yang terkenal dengan suhu -30 darjah Celsius, memberi jaminan akan menyelesaikan ujian saringan awal di seluruh bandar pada hari Khamis dan memberitahu penduduknya untuk tidak melangkah keluar dari rumah masing-masing sebelum mengetahui keputusan ujian Covid-19.
Penduduk juga sudah dimaklumkan tidak meninggalkan bandar ini kecuali dengan alasan mustahak dan mesti mengemukakan bukti keputusan ujian negatif dalam masa 48 jam sebelum berangkat.
Tempat-tempat awam seperti panggung wayang, gimnasium dan tempat mahjong juga ditutup serta tempat-tempat pelancongan diperintahkan untuk mengehadkan jumlah pelancong kepada separuh kapasiti.
Bandar ini juga akan menghentikan kelas secara bersemuka di semua tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah selama seminggu mulai hari Rabu, menurut stesen televisyen. – Agensi