Orang awam yang disyaki positif Covid-19 hadir seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pesakit Covid-19 kini tidak perlu lagi menunggu janji temu dari Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membuat penilaian di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Sebaliknya, mereka boleh pergi terus ke CAC berdekatan sekiranya didapati positif, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, langah itu diambil berikutan kes penularan Covid-19 yang semakin berkurangan.

Malah,  katanya, langkah kerajaan melaksanakan CAC secara maya juga boleh dimanfaatkan oleh pesakit Covid-19 sebagai kemudahan untuk mereka terutama yang bergejala ringan.

“Sebagai contoh di Selangor, kita sekarang ini tidak perlu lagi ada janji temu dan beberapa negeri telah beralih kepada CAC maya disebabkan jumlah kes yang semakin menurun.

“Jadi, mana-mana negeri boleh menerima pesakit secara ‘walk-in’ apabila jumlah kes dapat diurus tanpa kesesakan berlaku di CAC.

“CAC ini bukan pusat kuarantin ataupun rawatan, ia hanya pusat penilaian sebelum mereka disahkan sama ada perlu isolasi di rumah untuk bergejala ringan atau dihantar ke PKRC bagi pesakit yang kategorinya mungkin dua atau tiga atau, mungkin dihantar ke hospital bagi pesakit yang kategori empat dan lima,” katanya.

Khairy menjawab soalan tambahan yang dikemukakan di Ahli Parlimen (BN-Sabak Bernam), Datuk Fasiah Fakeh di Dewan Rakyat, hari ini.

Fasiah meminta kerajaan menjelaskan tindakan yang diambil apabila ramai lagi pesakit Covid-19 yang masih tidak mendapat panggilan untuk membuat ujian penilaian di pusat CAC.

Dalam pada itu Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang berusaha memastikan jumlah yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 sebelum sempat sampai ke hospital dikurangkan.

Disebabkan itu kata beliau, usaha memastikan pemerkasaan komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi agar di satu-satu tempat, pemimpin-pemimpin masyarakat mengetahui kes-kes pesakit Covid-19 yang mungkin sudah ada gejala, sudah buat ujian dan didapati positif boleh dibawa secepat mungkin untuk penilaian.

Menurut Khairy lagi, KKM kini mempunyai 209 CAC yang diwujudkan di setiap daerah secara berperingkat dan mula beroperasi sejak Januari lalu.

Katanya, lebih banyak CAC akan melaksanakan penilaian dengan menerima pesakit secara terus susulan penurunan kes seperti di Selangor dan beberapa negeri lain. – MalaysiaGazette