Kamarudin Ali terharu menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menziarahi beliau di tapak rumah baru yang dibina oleh anggota Polis Pahang secara gotong-royong.

KUALA LIPIS –  Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang  membina sebuah rumah kepada bekas pejuang zaman komunis di sini bagi menghargai jasa Kamarudin Ali.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Ibupejabat Polis Daerah Lipis mengambil masa hampir lima bulan untuk menyiapkannya di Kampung Seberang, Tanjung Buloh.

“Inisiatif membina rumah baru bagi menggantikan rumahnya yang sudah uzur dan tidak selamat didiami selain musnah akibat banjir besar dua kali.

“Tempoh masa siap melebihi jangkaan asal berikutan cabaran mengangkut barang binaan menggunakan laluan sungai dengan menaiki bot,” katanya di sini hari ini.

Berkeluasan 40 x 30 kaki, rumah batu yang dibina atas tanah milik Kamarudin itu memberi keselesaan buatnya dan isteri serta tiga orang anaknya.

Ia dibina oleh lapan anggota secara gotong royong sejak Februari lalu.

Jelas Yusri, kos pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik dilengkapi bilik air mencecah RM70,000 dan sejumlah RM30,000 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan siap sepenuhnya pada Julai lalu.

“Terima kasih kepada kerajaan Negeri Pahang dan Menteri Besar Pahang menyumbang dan menanggung kos pembinaan rumah kepada Kamarudin.

“Selebihnya merupakan hasil sumbangan daripada penduduk kampung dan orang ramai bagi menyiapkan rumah yang dibina oleh pasukan polis sendiri.

Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika melawat tapak rumah lama Kamarudin Ali yang usang di Kuala Lipis.

Dalam pada itu, Polis Pahang akan terus menjejaki pewira tanah air yang berjuang mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara semasa era darurat  dalam perkhidmatan polis di Persekutuan Tanah Melayu.

“Ianya sebagai menghargai jasa dan bakti  pejuang tanah air, pihak polis menyampaikan bakul makanan dan sumbangan kewangan kepada wira negara sempena sambutan Hari Malaysia.

“Kepada orang ramai yang mengenali homeguard, AP atau bekas polis semasa zaman sebelum kemerdekaan diminta tampil untuk memberikan maklumat supaya pihak kami dapat menjaga kebajikan mereka.

“Ini sebagai usaha menghargai pengorbanan, penderitaan mereka pada zaman darurat dahulu dan kemerdekaan yang kita kecapi sehingga hari ini,” jelas Yusri.

Beliau berkata demikian kepada  MalaysiaGazette selepas menziarahi Kamarudin bersama Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor.

Sementara itu Kamarudin, 82, meluahkan rasa bersyukur tidak kerana tidah pernah menduga dapat mendiami kediaman sendiri selepas rumahnya musnah akibat banjir pada tahun 2014 dan 2021.

“Saya tidak boleh memilik rumah tapi Allah berikan saya sebuah rumah, terima kasih PDRM dan kerajaan negeri, saya sangat berbesar hati dan terharu kerana hanya berpendapatan RM500 sebulan,” katanya.

Mengimbau detik sejarah, warga emas yang bertugas sebagai anggota homeguard di Lipis antara 1950 hingga 1959 itu berkata, sumbangan yang diterima terlalu besar nilainya kepadanya sekeluarga.

Peristiwa mempertahankan tanah air masih terpahat dalam memori dan Kamarudin sering  terkenangkan sahabat seperjuangan seramai 12 orang yang sama berjuang diketuai oleh Pawang Nong serta dibantu Wan Deraman yang menentang komunis  di Kampung Sepial, Kuala Tembeling pada tahun 1952.

“Pengorbanan semasa homeguard sekadar membantu dan hanya sebahagian sahaja tampil berjuang bersama pasukan ini untuk mempertahankan negara dan kampung daripada ancaman komunis namun sumbangan ini sangat bermakna.

“Terima kasih Timbalan Ketua Polis Pahang dan dan Ketua Polis Lipis yang sanggup menaiki bot  menyeberangi Sungai Jelai untuk menziarah dan melihat rumah baharu saya,” katanya. – MalaysiaGazette