Takiyuddin Hassan Covid-19 positive
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Tiada aktiviti pembalakan berlaku di kawasan Hutan Simpan Lentang, Bentong, Pahang seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Pahang telah membuat semakan berkaitan isu yang tular pada awal September 2021.

Katanya, semakan mendapati kawasan yang dimaksudkan merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam Daerah Bentong dengan keluasan sekitar 3.59 hektar.

“Kawasan lesen yang sama ini juga pernah tular pada penghujung tahun 2020 berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini.

“Susulan itu, Jabatan Perhutanan Pahang telah mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen ini bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut.

“Hasil semakan oleh Jabatan Perhutanan Pahang mendapati pelesen tidak melakukan sebarang kesalahan hutan yang melibatkan jalan pengeluaran dan kawasan lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian menggulungan ucapan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, setelah mengambil kira beberapa faktor lain dan kepentingan awam, Jabatan Perhutanan Pahang telah mengambil keputusan untuk membatalkan lesen pemindah bagi kawasan lesen ini berkuatkuasa serta merta.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 dan pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Katanya, bagi RUU Perhutanan Negara, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang mengadakan konsultasi bersama kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan sebelum ia boleh dibentangkan di Parlimen.

“RUU ini sudah diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Januari lalu dan dibentangkan di mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 pada 29 Januari lalu.

“Mesyuarat berkenaan sudah bersetuju dengan 47 pindaan seksyen dan penggubalan 15 seksyen baharu RUU Perhutanan Negara kecuali dua seksyen yang masih lagi memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri,” ujarnya. – MalaysiaGazette