Foto hiasan

SHAH ALAM – Seramai 148,298 pelajar sekolah bawah Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan swasta di Selangor terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman, semua pelajar adalah mereka yang belajar di tingkatan empat dan lima, termasuk 6,095 yang bersekolah asrama di luar negeri itu.

Kata beliau, program vaksinasi itu bermula sejak 20 September lalu, yang mana seramai 2,529 pelajar sudah menerima suntikan dos pertama.

“Semua mereka memberi kerjasama baik dengan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan untuk menerima vaksin masing-masing.

“Sebanyak 25 PPV sekolah telah dibuka kerajaan untuk memastikan proses vaksinasi di kalangan pelajar secara janji temu ini berjalan lancar,” katanya di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini. – MalaysiaGazette