Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Pas masih tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung tindakan kerajaan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Walaupun telah didesak oleh sayap parti Pas peringkat pusat, namun Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) turut memberi tekanan kepada menteri berkenaan supaya menarik semula keputusan yang dibuat itu.

Timbalan Ketuanya, Mohamed Sukri Omar mempersoalkan kepada Tengku Zafrul, berapa ramai jumlah mereka yang bertambah-tambah miskin dan melarat akibat judi berbanding kaya dengan perbuatan haram itu?

Tegas beliau, judi bukan solusi bagi masalah ekonomi, tetapi menjadi punca rakyat semakin tertekan.

“Malah, ianya turut menjadi punca keganasan dan keruntuhan sesebuah rumah tangga.

“Dengan menambah jumlah cabutan, bukanlah solusi bagi permasalahan ekonomi, sebaliknya lebih baik kerajaan fokus memberikan bantuan kepada SME dan peniaga kecil bagi menggalakkan perkembangan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu, kerajaan mengesahkan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Hal itu dinyatakan Tengku Zafrul dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Serentak itu, Ketua Pemuda Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin membantah isu pertambahan cabutan khas judi dengan menyatakan, perbuatan itu haram di sisi Islam.

Beliau dilaporkan berkata, cabutan khas judi itu bukan jalan penyelesaian terbaik, malah akan menambahkan lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, DPPS membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut dan mengesa Tengku Zafrul menarik kembali keputusan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Judi Arak Zina Riba Rasuah PELACURAN HARAM DAN DOSAAA BESARRR…..KUASA POLITIK sudah ditangan boleh HAPUSKAN SEMUA bukan jadi seLEMAH IMAN membantah dalam HATI lagi.

Comments are closed.