Datuk Seri Gopal Sri Ram
Datuk Seri Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA – Hanya penjawat awam dari badan kehakiman dan perundangan sah dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya atau TPR.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sepatutnya bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak layak untuk dilantik sebagai TPR bagi mendakwa beliau dan Najib dalam prosiding penyelewangan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Katanya, hanya seorang bergelar TPR boleh diberikan jawatan TPR Kanan.

Jelas beliau, ketika ini Sri Ram adalah pengamal undang-undang dan tidak boleh dilantik sebagai TPR Kanan di bawah Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Sepatutnya Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas melantik Gopal Sri Ram secara kontrak.

“Saya sendiri ketika dilantik mengetuai pendakwaan dalam rayuan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya telah tandatangan kontrak dengan kerajaan membayar RM1,000 bagi perkindmatan itu.

“Sepatutnya Tommy Thomas melantik Sri Ram di bawah Seksyen 376 dibaca bersama Seksyen 379 KPJ,” katanya pada prosiding rayuan secara talian hari ini.

Tiga panel hakim bersidang yang diketuai oleh Datuk Yaacob Md Sam bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Raziman Ghazali.

Bagaimanapun Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menjelaskan, makna dalam Seksyen 376 sebenarnya amat luas.

“Pelantikan Sri Ram adalah sah. TPR kanan tidak semestinya hanya dari kalangan perkhidmatan kehakiman dan perundangan,” hujahnya.

Hakim Yaacob Md kemudian memerintahkan kedua-dua pihak berhujah untuk memfailkan hujahan lanjut berkait kedudukan perundangan dalam Seksyen 376 sebelum dan selepas pindaan yang dilakukan pada 1998 sebelum 6 Oktober depan.

Mahkamah kemudian menangguhkan keputusannya sehingga 8 Oktober depan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Najib dan Shafee supaya Sri Ram menarik diri sebagai TPR kanan dalam kes yang dihadapi mereka.

Ketika itu, Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan tiada bukti bahawa Tommy telah tersalah mengarahkan dirinya di bawah undang-undang dalam pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan pada Ogos 2018. – MalaysiaGazette