KUALA LUMPUR – Kerajaan menolak cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan klinik kesihatan dijadikan pusat kuarantin pesakit Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, klinik Kesihatan tidak sesuai dijadikan pusat kuarantin sementara untuk mereka yang bergejala Covid-19.
“Ia memandangkan klinik kesihatan tidak mempunyai kemudahan asas sebagai pusat kuarantin yang membolehkan mereka yang bergejala tinggal di premis klinik,” katanya pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy berkata, skop klinik kesihatan adalah untuk memberikan rawatan pesakit luar kepada golongan ibu hamil, kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas yang memerlukan rawatan kesihatan susulan atau berterusan.
“Sekiranya Klinik Kesihatan dijadikan pusat kuarantin, dikhuatiri ia akan mendatangkan risiko penularan kepada individu-individu lain yang hadir untuk mendapatkan rawatan lain,” jelas AHli Parlimen Rembau itu.
Setakat ini terdapat 130 hospital awam (123 hospital Kementerian Kesihatan dan 6 hospital universiti dan 1 ATM) yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19. – MalaysiaGazette