Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi perhatian serius berhubung situasi semasa penularan Covid-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perhatian yang diberikan itu tentunya khusus dari aspek keselamatan murid dan semua tenaga pengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, JAKIM dengan kerjasama semua agensi terlibat telah menyediakan pelan tindakan sewajarnya bagi memastikan aktiviti pendidikan KAFA berjalan lancar.

Kata beliau, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Radzi Md. Jidin mengenai pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut Fasa PPN mulai 3 Oktober ini.

Malah, katanya, pelaksanaan KAFA di seluruh negara dibuat berdasarkan kepada takwim persekolahan arus perdana.

“Bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesinambungan aktiviti pendidikan Islam, pengoperasian KAFA bagi murid Tahun 1 hingga 6 akan diteruskan secara PdPR sehingga takwim persekolahan 2021 berakhir.

“Dengan itu, peperiksaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 untuk subjek bertulis yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November ini akan digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Idris berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kepada subjek yang dipelajari bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6.

Jelas beliau, kemenjadian murid dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.

Justeru, katanya, bagi tujuan itu, JAKIM akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis itu.

“Pelaksanaan UPKK secara penilaian ini tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah.

“Dengan keputusan ini, guru KAFA dan murid hendaklah terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh JAKIM nanti.

“Ibu bapa pula diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti pendidikan KAFA secara PdPR,” katanya. – MalaysiaGazette