Pahang mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Pahang mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Pelan Pemulihan Fasa Negara (PPN).

Ia merangkumi semasa PPN Fasa 2 dan 3 serta PKPD di lokaliti bersasar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, SOP baharu mula berkuatkuasa sejak semalam.

“Pengurusan jenazah di masjid dan surau kebenaran Jumaat, surau atau rumah dibenarkan dengan had seramai lima orang sahaja di dalam tempat dikhaskan ketika proses memandi dan mengkafan jenazah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, aktiviti ziarah dan ibadat solat jenazah juga dibenarkan di masjid dan surau kebenaran Jumaat serta surau biasa.

“Bilangan untuk menziarah dan solat jenazah di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau mengikut kapasiti jemaah solat Jumaat dibenarkan dengan tempoh masa ziarah dibenarkan maksima 10 minit sahaja pada satu masa.

“Manakala di rumah pula hanya dibenarkan untuk menziarah dan solat jenazah berdasarkan ruang serta keluasan rumah dan hendaklah tidak melebihi 20 orang dalam satu masa dengan tempoh masa ziarah dibenarkan maksima 10 minit,” katanya.

Bagi SOP pengebumian jenazah, seramai 50 orang sahaja dibenarkan pada satu masa di tanah perkuburan dan jenazah dibawa menggunakan kenderaan jenazah.

“Bacaan talkin dan tahlil perlu dibuat dalam tempoh masa paling minimum dan ziarah juga dibenarkan tetapi dengan masa minimum dan jumlah pengunjung adalah berdasarkan keluasan kawasan tanah perkuburan,” ujarnya.

Jelasnya wakil keluarga, pemimpin masyarakat setempat, pentadbir masjid serta, pengurusan tanah perkuburan dan orang ramai bertanggungjawab memastikan semua SOP sentiasa dipatuhi. – MalaysiaGazette