Seorang pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja amat bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat apabila 46% ahli-ahlinya yang berumur di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% kepada 27%, susulan  pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis Covid-19 ini.

Untuk rekod, sepanjang pandemik Covid-19, ahli-ahli KWSP dibenarkan membuat tiga pengeluaran menerusi i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Walaupun pandemik Covid-19 telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini untuk membantu kumpulan ini untuk bertahan tetapi ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil.

Selain itu, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas.

“Kesannya bukan sahaja terhadap kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, strategi utama KWSP di masa hadapan adalah memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka juga berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan mereka,” kata beliau sambil menambah bahawa penyelesaian jangka masa panjang amat diperlukan bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

”Ketika kita sedang pulih daripada krisis, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka agar mereka memperoleh persaraan yang bermaruah,” tambah Amir Hamzah.

KWSP, katanya, akan tetap fokus kepada pengagihan aset strategik dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan.

Di samping itu, matlamat asas KWSP untuk menjana pulangan dan melindungi kesejahteraan masa depan ahli dapat dipenuhi. – MalaysiaGazette