Nur Atirah (kanan) dan bapa saudara, Nazir tidak dapat menahan sedih ketika menerima kunjungan ADUN Johor Lama,Rosleli (kiri)

KOTA TINGGI – Empat beradik menjadi yatim piatu selepas ibu kandung mereka dijemput Ilahi akibat Covid-19 pada awal bulan lalu kini menjadikan bapa saudara mereka sebagai tempat menumpang kasih.

Nur Atirah Zafirah Hail Halim, 13, Nor Aimi Zakiah, 11, Nor Asyikin Zulaikha, 10, dan Nor Aisyah Zafirah, 4, turut mengharapkan bapa saudara mereka , Mohd Nazir Nordin, 46, dapat melindungi mereka yang kini menghuni rumah pusaka peninggalan datuk dan nenek di Felda Air Tawar 2, di sini, sebagai tempat berlindung.

Mohd Nazir yang dipanggil Pak Tam oleh anak saudaranya itu berkata, adiknya, Zalipah Nordin, 40, meninggal dunia pada 7 September lalu selepas ditidurkan berikutan bacaan oksigen menurun ketika ditahan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Saya memang rapat dengan anak-anak arwah sejak kecil, setelah mereka ini kematian bapa tiga tahun lalu saya memang kerap ulang alik ziarah adik saya dan ziarah anak buah semua.

“Sebenarnya sejak adik saya kehilangan suami, saya pernah mengajak supaya dia tingggal sekali bersama saya. Tetapi arwah menolak sebab waktu itu arwah masih bekerja sebagai tukang jahit,” katanya ketika menerima ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari, di sini, hari ini.

Nazir berkata, lebih memilukan ketika arwah adiknya meninggal, anak saudaranya, Nur Atirah, ketika itu juga sedang dirawat di hospital kerana jangkitan Covid-19.

“Waktu itu anak sulungnya juga positif, jadi bila kita dikhabarkan kematian Zalifah, saya terkelu untuk maklumkan kepada anak saudara yang ibunya sudah tiada.

“Waktu kejadian saya ingat nak beritahu beliau pada waktu dia keluar dari hospital, tetapi lebih awal bertanya khabar ibunya kepada saya.

“Rupa-rupanya dia dah tahu ibunya telah meninggal kerana pada ketika itu dia pegang handphone arwah jadi ramai ucap takziah. Bila dia tanya ibu mana? Saya terlalu sebak,” katanya.

Jelas Nazir, setelah mendapat persetujuan adik beradik lain, dia tekad untuk membesarkan anak-anak saudaranya sama seperti anaknya sendiri.

“Saya cuma ada seorang anak berusia dua tahun, tetapi saya akan jaga budak-budak ini supaya mereka rasa saya ini macam bapa mereka sendiri.

“InsyaAllah kalau boleh saya akan sekolahkan mereka sampai habis. Itu janji saya,”katanya.

Sementara itu, anak sulung arwah Zalifah, Nur Atirah berkata, ketika mereka dua beranak mendapat tahu dijangkiti Covid-19, kedua-duanya dibawa bersama-sama ke hospital.

Namun setibanya ICU, menurutnya, keadaan ibunya semakin kritikal menjadikan mereka dua beranak terpaksa berpisah.

“Itulah saat terakhir saya jumpa ibu, waktu itu dia sempat pesan supaya jangan abaikan adik-adik kalau dia tiada.

“Dia minta saya jaga adik baik-baik, jaga hubungan kami semua,” katanya sugul.

Orang ramai yang mahu menyumbang meringan beban empat beradik ini boleh salurkan sumbangan ke akaun CIMB 7043195345 milik bapa saudara mereka, Darwis Nordin.

Dalam pada itu, Rosleli memberitahu, pihaknya akan membantu menguruskan keperluan persekolahan empat beradik itu.

Segala keperluan dan kelengkapan sekolah, jelas beliau, menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk membantu.

“InsyaAllah saya berjanji anak-anak ini kita tidak akan abaikan, itu janji saya.

“Apa utama, segala keperluan persekolahan dia saya akan bantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast