Program vaksinasi pelajar umur 16 dan 17 di Kuala Selangor berlangsung satu minggu hingga Rabu ini.

KUALA LUMPUR – Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dilaksanakan dua minggu selepas tarikh peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan itu KPM berkata, institusi pendidikan di Johor akan bermula pada 10 Oktober ini.

Manakala bagi negeri Pahang pula kekal pada 4 Oktober depan berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

Pembukaan institusi pendidikan di bawah kementerian itu di Negeri Sembilan juga kekal pada 4 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN.

“Memandangkan negeri Pahang akan beralih ke Fasa 3 pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri Pahang akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada 11 Oktober 2021

“Memandangkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 4 pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021,” kata KPM menerusi kenyataan.

Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru, juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah kementerian tersebut bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM berkata, pembukaan semula institut pendidikan di bawah kementerian berkenaan selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September 2021 berkaitan peralihan fasa bagi negeri ketiga-tiga negeri itu berkuat kuasa pada hari ini.

Tambah kementerian itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk pelajar Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

“Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah,” ujar KPM.

Sementara itu, pengoperasian institut pendidikan di Pulau Langkawi pula akan bermula pada 3 Oktober 2021, selaras dengan ketetapan Fasa 4 PPN.

Bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September 2021 pula, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast