KUALA LUMPUR – Gangguan berpanjangan dalam ekonomi terus mempengaruhi prestasi Indeks Pelopor (IP)yang menunjukkan trend menurun pada Julai 2021.
Berasaskan tahun ke tahun, IP merosot 4.0 peratus untuk merekodkan 105.0 mata pada Julai 2021 (Julai 2020: 109.4 mata).
Penyusutan 4.4 mata ini didorong terutamanya oleh penurunan dalam Bilangan Syarikat Baru Didaftar, dengan sejumlah 2,646 syarikat tempatan baharu yang didaftar pada Julai 2021 berbanding 5,522 syarikat pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Selain itu, penurunan tersebut juga dipengaruhi oleh kesan tahun asas daripada tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, IP juga mencatat penurunan bulan ke bulan pada Julai 2021 pada negatif 0.6 peratus terutamanya disebabkan oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-1.3%), kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Mengambil kira prestasi IP yang lebih lemah pada bulan rujukan dan trend kadar pertumbuhan IP terlicin yang menurun sejak Mac 2021, IP menjangkakan prospek ekonomi Malaysia berkemungkinan berdepan ketidakpastian.
Walau bagaimanapun, keberkesanan pelbagai strategi ekonomi dan kesihatan di samping kerjasama rakyat dalam mengadaptasi normal baharu dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dijangka dapat memulihkan prospek ekonomi jangka pendek.
Indeks Serentak (IS) sebagai proksi kepada prestasi aktiviti ekonomi semasa terus menunjukkan trend penurunan yang lebih tinggi tahun ke tahun, menurun 5.2 peratus (Jun 2021: -3.1%).
Sementara itu, IS mencatatkan negatif 2.5 peratus bulan ke bulan disebabkan oleh prestasi yang kurang menggalakkan dalam hampir kesemua
komponen IS, terutamanya daripada Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-1.5%). – MalaysiaGazette