Bank Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR –┬áBank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) sebagai kadar rujukan alternatif (ARR) yang baharu bagi Malaysia.

Pada peringkat global, ARR diperkenalkan untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan sebagai sebahagian daripada peralihan kepada kadar berasaskan transaksi, sejajar dengan pembaharuan Kadar Tawaran Antara Bank London (London Interbank Offered Rate, LIBOR) selepas Krisis Kewangan Global.

Perkenalan ARR bertujuan untuk mempermudah penggunaan kadar penanda aras yang lebih mantap dan berdasarkan transaksi dalam pasaran kewangan yang cair dan aktif.

Di Malaysia, MYOR akan beroperasi selari dengan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) sedia ada, dengan tinjauan berkala untuk memastikan bahawa kadar penanda aras kewangan tetap mantap dan mencerminkan pasaran asas yang aktif.

Pendekatan berbilang kadar ini disokong oleh Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) dan diterima pakai oleh banyak negara lain.

BNM berkata, ketersediaan dua kadar penanda aras kewangan akan memberikan fleksibiliti kepada peserta pasaran untuk memilih kadar yang paling sesuai dengan keperluan mereka dan membantu membangunkan produk berasaskan MYOR.

Penawaran produk berasaskan MYOR akan menyediakan instrumen lindung nilai yang lebih pelbagai bagi menyokong strategi pengurusan risiko tambahan.

Bersempena dengan pelancaran MYOR, BNM telah menerbitkan Dokumen Dasar MYOR yang memasukkan ciri-ciri utama dan piawaian tadbir urus yang dibangunkan bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), melalui proses maklum balas orang ramai yang mantap:

MYOR akan ditadbir dan dikira oleh BNM sebagai kadar purata berwajaran jumlah bagi urus niaga ringgit semalaman tanpa cagaran antara bank, termasuk operasi monetari semalaman BNM (tidak termasuk Kemudahan Tersedia)

MYOR untuk hari bekerja tertentu di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 10 pagi hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.

BNM akan melakukan tinjauan berkala terhadap MYOR bagi memastikan MYOR terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas.

BNM juga akan menamatkan penerbitan tempoh KLIBOR 2 dan 12 bulan, iaitu kadar yang paling kurang dirujuk dalam pasaran untuk kontrak kewangan, pada 1 Januari 2023. Tempoh KLIBOR satu, tiga dan enam bulan yang terus mencerminkan pasaran asas yang aktif akan dikaji pada separuh kedua tahun 2022. Sebarang perkembangan daripada kajian tersebut akan dimaklumkan pada masa akan datang. FMC akan melibatkan International Swaps and Derivatives Association (ISDA) untuk memastikan kesinambungan[4] kontrak derivatif KLIBOR sekiranya berlaku penamatan penerbitan KLIBOR secara sementara atau kekal.

Sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk terus membangunkan pasaran kewangan Islam, BNM dengan kerjasama FMC dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (IMTDC) AIBIM-FMAM akan membangunkan kadar penanda aras Islam baharu untuk menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR) pada separuh pertama tahun 2022. – MalaysiaGazette