GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan dua lelaki dipercayai warga tempatan yang disyaki ahli kumpulan Geng @Kecik yang terbabit dalam kes samun kedai emas di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kedua-dua lelaki terbabit masih bebas yang dikenali sebagai Boy Selayang dan Atai @Atailah.
“Nama sebenar Boy Selayang ialah Mohd Hafizuddin ROSLAN, No Kad Pengenalan 931003-10-5613, beralamat di No.12, Jalan Mutiara 5/6, Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, Selangor.
“Manakala nama sebenar Atai ialah Ataillah Ghazi, No Kad Pengenalan 950928-14-6453 dan alamat terakhir di No. 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.
Terdahulu, kegiatan jenayah samun berkumpulan itu berjaya ditumpaskan pihak polis dalam 13 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang antara 12 hingga 21 September lalu.
Sepanjang Mei hingga September 2021, polis menerima sebanyak empat kes samun kedai emas secara berkumpulan bersenjatakan parang, kapak dan tukul besi.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga tertangkapnya ahli kumpulan samun kedai emas itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Komisioner Agilan Iswaran dari IPD Gombak di talian 03-6126 2222 atau 019-523 0801 dan Inspektor Shahrul Azzuan Sharom dari IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau 016-2014 334,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan modus operandi sedemikian.
“Orang ramai juga diminta untuk terus membantu pihak polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat sesuatu kegiatan atau perlakuan jenayah,” ujarnya. – MalaysiaGazette