foto hiasan

SEIRING dengan perkembangan teknologi semasa terutamanya ketika perintah kawalan
pergerakan, institusi pendidikan negara termasuk prasekolah, sekolah rendah, sekolah
menengah dan universiti telah mula selesa dalam mengadaptasi pelbagai inisiatif bagi
menarik pelajar bergiat aktif dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Antara inisiatif yang diambil oleh institusi pendidikan tersebut adalah dengan menggalakkan pelajar menyertai aktiviti dalam talian seperti menjawab kuiz yang dianjurkan oleh badan-
badan yang diiktiraf. Ada juga guru yang mewajibkan pelajarnya memuat naik hasil kerja
yang telah dilaksanakan dalam You Tube dan media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Jenis aktiviti dan pertandingan sebegini dianjurkan bagi mengasah bakat dan membina
keyakinan diri pelajar, sekali gus menjadikan mereka sebagai generasi yang celik dengan
perkembangan teknologi. Sebelum ini, kebanyakan pertandingan tempatan adalah lebih bersifat fizikal di mana penyertaan dihantar dalam bentuk salinan keras atau salinan lembut kepada wakil sekolah. Kemudian, guru yang telah diamanahkan untuk menjadi penilai akan menilai penyertaan pelajar berdasarkan kriteria tertentu. Walaupun setiap pertandingan mempunyai kriteria tertentu dan berbeza, namun semuanya meletakkan kualiti sesuatu penyertaan sebagai kriteria utama.

Secara umumnya, pemilihan pemenang bagi sesuatu pertandingan adalah dibuat
secara lebih telus dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Para penilai boleh berlapang dada jika keputusan mereka dipertikai oleh peserta kerana keputusan yang dibuat mempunyai asas pertimbangan yang kukuh. Walau bagaimanapun, keadaan hari ini sudah mula berubah. Banyak sekolah mula mengambil inisiatif menganjurkan latihan dan pertandingan secara maya. Ada latihan tertentu memerlukan pelajar memuat naik dalam aplikasi You Tube dan markah akan diberikan sekiranya pelajar tersebut mencapai jumlah tontonan atau sukaan tertentu yang ditetapkan guru penilai.

Ada juga pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah bertujuan untuk memupuk semangat patriotik pelajar sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Pelajar dikehendaki memuat naik gambar atau video berkaitan di sosial media bagi mendapatkan
jumlah sukaan yang terbanyak. Pelajar yang mendapat jumlah sukaan atau komen yang
terbanyak secara otomatik akan menjadi pemenang. Syarat-syarat seperti ini boleh dilihat
dengan jelas dalam laman Facebook milik sesetengah sekolah di Malaysia. Syarat sebegini mungkin mudah bagi pelajar universiti atau pelajar sekolah menengah. Namun begitu, pelajar sekolah rendah mungkin menghadapi kesukaran dalam memenuhi syarat sebegini.

Dalam kebanyakan masa, ibu bapa akan memainkan peranan penting dengan mengambil atau merakam video anak-anak, kemudian memuat naik dalam laman sosial. Usaha ini, tidak akan terhenti sebegitu saja. Ibu bapa akan menjalankan kempen, meminta
ahli keluarga, kawan-kawan dan orang yang tidak dikenali bagi mengetik sukaan pada
hantaran tersebut. Malah ada ibu bapa terpaksa menjadi ahli beberapa kumpulan Facebook yang tujuan penubuhannya hanya untuk mendapatkan sokongan bagi hantaran yang dibuat. Tidak dinafikan, keputusan penganjuran pertandingan sebegini akan mendedahkan pelajar dengan dunia siber yang ada manfaatnya. Namun begitu, penganjuran pertandingan yang memberi kemenangan semata-mata berdasarkan jumlah sukaan ada kalanya bersifat tidak adil dan berat sebelah.

Terdapat beberapa kes di mana sekolah menerima bantahan ibu bapa dan
pelajar bagi keputusan sesuatu pertandingan kerana penyertaan dari pelajar lain adalah lebih baik berbanding pelajar yang menjadi pemenang. Amalan pemilihan berdasarkan jumlah sukaan tersebut mungkin akan menjejaskan kualiti sesebuah pertandingan. Sebuah karya yang berkualiti boleh diketepikan dengan mudah hanya kerana pelajar atau ibu bapanya tidak mempunyai kawan yang ramai di media sosial. Usaha seseorang pelajar juga akan dibantutkan dengan mudah apabila dia tidak dibenarkan berkongsi gambar dan video untut tatapan umum. Harapan seorang pelajar untuk memenangi sebuah pertandingan juga akan terkubur apabila tiada penilaian pada usahanya akan dibuat jika tidak mempunyai akaun sosial.

Tidak semua ibu bapa dan penjaga dapat berfikiran terbuka dan bersedia membenarkan anak-anak menggunakan akaun media sosial ketika masih di sekolah rendah. Walaupun
dibenarkan, tiada siapa dapat menjamin bahawa akaun tersebut hanya akan digunakan bagi tujuan pembelajaran sahaja. Pendedahan yang terlalu awal kepada akaun media sosial kepada anak-anak dibawah umur yang masih belum mampu membezakan dengan jelas baik buruk sesuatu perkara boleh mendedahkan mereka kepada unsur-unsur negatif seperti gambar dan video lucah, serta perlakuan ganas.

Oleh itu, pihak sekolah harus menilai semula keputusan untuk memilih pemenang bagi
sesuatu pertandingan yang hanya berdasarkan jumlah sukaan semata-mata. Seharusnya,
peluang sama rata diberikan kepada semua pelajar dan kualiti sesuatu penyertaan harus tetap menjadi keutamaan. Jika kaedah ini adalah yang tebaik di masa ini, pemilihan pemenang haruslah dipadankan juga dengan kriteria yang lain. Pihak sekolah juga harus membantu pelajar -pelajar untuk mempromosi hasil kerja mereka di laman media sosial rasmi sekolah. Pemilihan kaedah yang tepat dalam sesuatu penganjuran pertandingan bukan saja memastikan objektif penganjuran dapat dicapai, malah ia akan menjadi pendorong kepada anak-anak untuk terus membuat yang terbaik dan mendapat kejayaan dengan cara yang lebih telus.

Oleh: Dr. Zuraini Ab Hamid
Penulis ialah Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).