Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diberi kelulusan untuk menerima Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya menyokong ketegasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam isu MM2H yang telah diperjelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata, Program MM2H adalah untuk mereka dari negara maju yang telah bersara dan ingin hidup lebih selesa dengan pencen yang mereka dapat berbanding tinggal di negara asal kerana kos sara hidup kelas menengah di sini jauh lebih rendah.

MM2H juga katanya, adalah untuk warga asing yang mampu membeli hartanah yang ditetapkan harganya dan ahli keluarga untuk menetap di sini sementara ketua keluarga itu kekal bekerja atau berniaga di negara asal atas sebab kos kehidupan di sini jauh lebih murah berbanding dari negara asal mereka.

“Kita tidak mahu yang memohon MM2H adalah mereka yang ada tujuan untuk bekerja dan membuat perniagaan di sini.

“Perkasa mahu kerajaan benar-benar ambil berat hal ini supaya mereka yang tidak layak tidak diberi kelulusan. Perkasa bimbang ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan menyalahgunakan MM2H demi untuk tujuan lain,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Syed Hassan berkata, Perkasa hairan dengan sikap pemimpin DAP yang begitu menekankan soal banyak sektor akan terjejas akibat syarat-syarat ketat yang dikenakan untuk kelulusan baharu program tersebut.

Ujarnya, dalam sidang media ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh menekankan, banyak rumah kepunyaan rakyat Malaysia yang disewakan kepada peserta MM2H akan terjejas apabila peserta tidak lagi mahu terus kekal menyertai program berkenaan dan perkara itu akan menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga restoran di sekitar penempatan peserta terbabit, sedangkan kerajaan tidak mengusik peserta yang telah diluluskan dan tiada masalah lain.

Alasan sewaan dan penjualan hartanah yang dibangkitkan Ahli Parlimen Segambut itu katanya, membuktikan nilai hartanah yang meningkat naik adalah disebabkan kemampuan warga asing menyewa dan membuatkan sesetengah kaum sahaja dalam negara ini mampu membeli hartanah bernilai tinggi.

“Kesannya pemaju lebih suka membangunkan hartanah yang tinggi nilainya berbanding rumah kos sederhana…ini membuatkan kaum lain terutamanya kaum Bumiputera akan terkesan dengan masalah hartanah mahal di bandar-bandar di Lembah Klang dan bandar raya lain.

“Kita jangan terlalu hadap sangat wang asing masuk tetapi negara menanggung masalah dari mereka yang menyalahgunakan kemudahan MM2H,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast