JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu segera menyemak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda membangkitkan isu berkenaan ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, dekat sini, hari ini.
Turut dihadir Menteri Besar. Datuk Hasni Mohammad.
Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 21 Ogos lalu.
Menurut baginda, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing dan MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.
Johor juga, tegas baginda, antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
”Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.
”Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah Sultan Johor.
Baginda turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan bersama perdana menteri.
Sebelum ini, baginda Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Dalan Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan.
Baginda bertitah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat Program MM2H.
”Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah diluar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.
”Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah baginda sambil menambah keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif, memandangkan Program MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette