Kilang pakaian milik warga Bangladesh di Ampang yang diserbu JIM pada 23 September lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha kilang pakaian warga Bangladesh bersama 45 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di Ampang, Selangor kelmarin.

Operasi ini merupakan rentetan daripada kejayaan OP Hack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu.

Beberapa siri operasi telah dijalankan bagi mengesan saki-baki individu yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack berkenaan.

Dalam operasi ini, sepasukan pegawai imigresen telah menyerbu dua buah kilang pakaian dan dua premis lain iaitu sebuah bangunan pejabat dan pusat pameran milik seorang lelaki Bangladesh berumur 46 tahun.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki diperolehi melalui Sindiket ID-Hack sebelum ini untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia.

Syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012.

Berdasarkan siasatan awal, modus operandi (MO) suspek adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan mengunakan sumber tenaga kerja dalam kalangan PATI untuk memaksimakan keuntungan.

Suspek bertindak menyewa beberapa premis komersial termasuk sebuah bangunan tiga tingkat untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja.

Manakala sebuah premis pula dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat.

Khairul Dzaimee menambah, suspek juga mampu menggaji seramai 45 orang warga asing dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1,600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan.

Kegiatan suspek telah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan khususnya dalam bentuk levi pekerja asing mencecah RM700,000.00 sepanjang tempoh syarikat itu beroperasi.

Semasa serbuan dijalankan, pasukan operasi telah menahan seramai 45 orang warganegara asing berasal daripada Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang berada di dalam premis dan disyaki sedang menjalankan aktiviti menjahit pakaian.

Kesemua mereka berumur diantara 17 hingga 56 tahun.

Pemeriksaan juga mengesan beberapa orang pekerja yang ditahan turut memiliki PLKS tidak teratur yang dikeluarkan oleh sindiket ID Hack sebelum ini.

Tambah beliau, pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama.

Berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank-bank tempatan

Kesemua tahanan kini di tahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Manakala suspek dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

Tegas Khairul Dzaimee, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penggodaman sistem Jabatan sehingga memberi implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi negara.

Justeru itu, Jabatan ini akan mempergiatkan risikan untuk terus memburu saki-baki pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh Sindiket ID-Hack yang berjaya ditumpaskan beberapa bulan yang lalu. – MalaysiaGazette