Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, ramai dalam kalangan umat Islam meninggalkan kewajipan berpolitik dan menyerahkan kuasa kepada pihak lain.

Presiden Pas itu berkata, walhal politik itu wajib bagi umat Islam tetapi mereka tidak mengambil kesempatan itu untuk melaksanakannya.

“Perbuatan ini menyebabkan tanah air mereka dijajah secara langsung atau tidak.

“Malah, mengakibatkan juga Islam itu dihina di hadapan mata mereka tanpa apa-apa perasaan dan tanpa sedar mereka telah diperhambakan oleh musuh Islam,” tulis beliau menerusi Minda Presiden Pas hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, politik adalah kaedah atau cara mentadbir serta memimpin yang menjadi suatu keperluan dalam hidup bermasyarakat.

Katanya, umat Islam boleh merujuk al-Quran iaitu kitab Allah yang membaca cerita benar yang wajib diimani kebenarannya bahawa Rasul berdakwah tanpa berpisah daripada berpolitik kepada pemimpin dan raja pada zaman masing-masing bersama rakyatnya.

“Mereka berdakwah supaya golongan itu beriman kepada Allah dan mengikuti petunjuk-Nya dalam semua urusan.

“Mereka terus berjuang dengan gigih menentang penyelewengan akidah, syariat dan akhlak dalam semua urusan kehidupan manusia.

“Sesiapa yang menerima Islam diiktiraf menjadi raja (Zulqarnain dan Tolut), bahkan ada Rasul yang memimpin kerajaan sebagai Khalifah (Nabi Daud AS) dan menjadi Raja (Nabi Sulaiman AS),” katanya.

Beliau juga memberitahu, ramai dalam kalangan rasul wafat sebelum berjaya mendirikan kerajaan.

Lalu, katanya, tugas itu disambung oleh rasul selepasnya atau para sahabat yang setia melangsungkan perjuangan sehingga akhirnya berjaya mendapat kuasa politik.

“Rasulullah SAW juga melaksanakan kewajipan yang sama sehingga baginda menolak tawaran untuk dilantik menjadi raja atau pemimpin oleh para pemimpin masyarakat Mekah kerana puak musyrikin Mekah tidak mengizinkan Islam itu berkuasa dalam negara.

“Akhirnya, Rasulullah berhijrah ke Madinah untuk mendirikan negara bermasyarakat majmuk dengan petunjuk hidayah Allah dan kebijaksanaan Rasul-Nya serta para sahabatnya.

“Baginda SAW melaksanakan urusan politik berprinsipkan iman dan berkonsepkan ibadat, syura dan adil kepada semua bagi mencapai janji Allah,” katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, selepas kewafatan Rasulullah, hukum kewajipan berpolitik telah menjadi sepakat para ulamak sekali gus menunjukkan hukum wajib berpolitik adalah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijmak khususnya generasi awal Islam. – MalaysiaGazette