Pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap ekonomi negara menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.- Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Sikap sesetengah syarikat berkemampuan tidak mahu menanggung sedikit kerugian dengan memberhentikan para pekerjanya amat dikesali.

Walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan namun sesetengah syarikat yang kukuh sepatutnya turut mengutamakan masalah periuk nasi pekerjanya.

Aktivis dan ahli perniagaan,  Datuk Seri R. Jeyendran melahirkan rasa kecewa dan kurang senangnya dengan keadaan syarikat ‘besar’ yang terpaksa tutup perniagaan sehingga menyebabkan ratusan hingga ribuan hilang mata pencarian.

Beliau yang menguruskan syarikat berasaskan perkapalan, Maritime Network Sdn Bhd yang telah berada dalam industri hampir 17 tahun juga melalui fasa penuh cabaran dalam tempoh dua tahun ini namun sedaya upaya mengekalkan para pekerjanya.

Datuk Seri R Jeyendran

“Memang ada kerugian yang bukan sikit tetapi pada masa sama selama lebih 15 tahun syarikat ini juga telah mengaut keuntungan jadi mengapa kali ini saya sebagai majikan rasa sedikit perit tetapi tetap pertahankan pekerja saya?

“Mengapa syarikat-syarikat yang ketika ini sedang gulung tikar ini tidak cuba ambil pendekatan ini? Ada yang sehingga puluhan tahun sudah bertapak perniagaan mereka sehingga menjadi ‘gergasi’ berjaya. Mengapa kini gunakan alasan Covid-19 untuk lepaskan mereka?” soalnya.

Menurut Jeyendran, dalam hal terbabit, majikan perlu mengutamakan soal kemanusiaan kerana para pekerjanya juga ada keluarga mahu disara.

“Adakah patut sebenarnya untuk perlakukan mereka seperti ini? Sendiri fikirlah adakah wajar untuk buat pekerja anda seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Jeyendran, langkah menutup operasi atau menghentikan pekerja pada masa pandemik sememangnya tidak patut langsung kerana impaknya cukup besar.

“Ramai hidup dalam keadaan tertekan, ramai sudah tidak ada duit untuk sesuap nasi dan sanggup meminta bantuan tanpa rasa malu lagi, bayangkan untuk sekampit nasi. Untuk bungkusan makanan malah sanggup beratur panjang untuk terima bantuan.

“Saya sendiri sejak pandemik ini telah turun pandang memberikan sumbangan dalam bentuk wang ringgit, bakul makanan asas dan kini saya bersama-sama pekerja syarikat turun setiap hujung minggu menyantuni warga gelandangan sekitar Lembah Klang.

“Jika anda lihat dan dengar rintihan mereka, ada yang pernah kerja berpuluh tahun di syarikat-syarikat besar kini sudah hilang pendapatan sekelip mata.

“Mereka bukan mengemis untuk makanan kerana malas tetapi situasinya begitu. Siapa lagi yang kenal pekerja mereka jika bukan majikan? Tolonglah,” pintanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast