Noh Omar Najib Razak bossku Muhyiddin Yassin Mahathir Mohamad court cluster Johor state election
Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi merancang pelan tindakan bagi melahirkan ‘bangsa usahawan’.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pelan itu akan diadakan dengan kerjasama pelbagai institusi dan agensi khususnya di bawah kementerian itu.

“Semalam saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2021 secara maya. Mesyuarat ini menghimpunkan 920 perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara.

“Saya menjelaskan kepada mereka mengenai perancangan kementerian saya untuk terus merancang pelan tindakan bagi melahirkan bangsa usahawan.

“Tumpuan kementerian ini lebih menjurus kepada usaha membantu empat kumpulan sasar yang pada masa ini terjejas berikutan pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau menyatakan, empat kumpulan sasar itu ialah usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), golongan yang diberhentikan kerja dan mahasiswa yang tiada pekerjaan, tetapi hendak menjadi usahawan serta koperasi.

Sementara itu, Noh kini berada di Yan, Kedah, daerah yang terjejas teruk akibat kejadian kepala air yang mengorbankan enam nyawa pada 18 Ogos lalu.

Menurutnya, beliau akan menyampaikan bantuan kepada usahawan asnaf yang terkesan akibat bencana itu.

“Ini adalah program turun padang pertama saya selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Sumbangan duit zakat kepada golongan usahawan asnaf hari ini adalah untuk membantu meringankan beban mereka dan pada masa sama, saya harap suatu hari nanti mereka semua yang menerima sumbangan duit zakat ini akan menjadi pembayar zakat.

“Ini antara agenda saya untuk membantu usahawan di pelbagai peringkat,” katanya. – MalaysiaGazette