Ikmal Hisham, Ahli Parlimen Tanah Merah dari Parti Bersatu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memperkenalkan program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan bagi memelihara kebajikan warga kementerian itu termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program itu selaras usaha kementerian mendokong hasrat kerajaan mencapai sasaran 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19 sebelum akhir tahun ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, program itu adalah inisiatif kementerian dalam memudahkan proses mendapatkan vaksinasi kepada veteran.

“Ia diurus dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kesihatan ATM (BPK ATM) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menggunakan kemudahan sedia ada seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangat mengambil berat situasi semasa warga kementerian sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19, khususnya ke atas warga veteran ATM.

“Justeru, kementerian ini melancarkan beberapa program yang diterajui oleh saya untuk merealisasikan hasrat kerajaan,” katanya dalam sesi menjawab lisan di Parlimen, hari ini.

Mengikut rekod, 76.3 peratus veteran ATM telah menerima vaksinasi sehingga kini.

Justeru, kata Ikmal Hisham, Tim Vaksinasi ATM di bawah Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan telah merancang program vaksinasi kepada baki 23.7 peratus lagi bermula 4 hingga 8 Oktober ini.

“Program ini akan melibatkan 59 PPV yang terdapat dalam kem tentera di seluruh negara.

“Pemakluman awal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pemvaksinan bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi di setiap PPV yang dipilih.

“Kita menyeru kerjasama warga veteran ATM untuk bersama membantu usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 dan memacu ekonomi negara kembali rancak,” katanya.

Veteran ATM dan keluarga boleh untuk mendaftar melalui pautan JHEV ATM https://tinyurl.com/vaksinveteranatm atau https://tinyurl.com/vaksinkeluargaveteran.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh hubungi Pegawai Penyelaras, Mejar Hazamiah Mohd Gazali di talian 019-298 0412 atau hotline JHEV ATM di talian 03-2050 8173. – MalaysiaGazette