Gelagat sebahagian gelandangan semasa beratur untuk mengambil makanan pada Program Santuni Golongan Gelandangan di Pusat Gelandangan Medan Tunku, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

SEPERTI yang kita sedia maklum, dengan perlantikan Perdana Menteri ke-9 serta pembentukan Kabinet yang baru serta penubuhan Majlis Penubuhan Negara (MPN) harapan yang tinggi diletakkan kepada kerajaan pimpinan YAB Dato Seri Ismail Sabri. Kita sedang berada di saat yang sangat penting bag untuk melakukan perubahan dan pembetulan ekonomi negara untuk dekad yang akan datang.

Ia menjadi lebih menarik lagi ditambah dengan memorandum persafahaman yang belum pernah terjadi yang telah dimenterai demi menjamin kestabilan politk, walaupun ada laporan yang menyatakan bahawa negara akan pulih dengan pertumbuhan ekonomi yang positif, yang akan mengurangkan kesan pandemik pada ekonomi, hakikatnya. kesan pandemik ini hanya akan dapat kita ukur dan dianalisakan melalui penelitian dalam laporan kekayaan isi rumah, pendapatan isi rumah, kadar pemilikan rumah, nisbah hutang isi rumah dan banyak perkara lagi, pada suku pertama tahun hadapan.

Pada ketika ini kita menjangkakan, Kelompok Ekonomi Bumiputera yang akan paling terkesan teruk kerana pandemik kerana mereka sememangnya berada dalam kumpulan terdedah pada keadaan ekonomi dan garis asas (baseline), ekonomi mereka juga akan terus menurun. Ini sekaligus menidakkan keberhasilan atau sokongan yg diterima hasil daripada Dasar Ekonomi Baru dan dasar sepertinya yang telah diperolehi sebelum ini. Semua ini dapat dilihat melalui statistik seperti berikut:

• Kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat kepada 4.8 peratus pada bulan Jun
2021 yang melibatkan 768.700 orang, suku kedua tahun 2021 dan kadar pengangguran
pada bulan Mei 2021 adalah sebanyak 4.5 peratus dengan 728.100 penganggur.

• Bilangan Siswazah Menganggur meningkat 22.5% kepada 202,400 orang pada tahun
2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dengan 70% daripadanya adalah dari
graduan Bumiputera.

• Pada tahun 2020 sehingga Julai 2021, sebanyak 155,893 orang kehilangan pekerjaan
semasa wabak Covid-19 melibatkan sebanyak 5,959 majikan.

• Pada tahun 2020, jumlah penamatan perniagaan yang melibatkan sektor perdagangan
jualan borong, jualan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal ialah
sebanyak 10,487 perniagaan manakala sebanyak 5,050 perniagaan dalam sektor ini telah
menamatkan perniagaan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2021.

• Keluarga dari kategori miskin tegar meningkat sebanyak 4,815 isi rumah pada tahun 2021 berbanding 1,109 isi rumah pada tahun 2021.

• Keluarga dari kategori miskin juga meningkat daripada 2,200 pada tahun 2020, kepada
5,617 pada tahun ini.

• Bagi yang bekerja: 88.5%-T20 hingga M40 dan 74.2%- M40 hingga B40.

• Untuk yang bekerja sendiri: 22.9% kadar penurunan dari M40 hingga B40.

• Pendapatan per kapita pada tahun 2014 untuk Bumiputera hanya 21.7% (RM16,066
setahun) berbanding dengan pendapatan bukan Bumiputera (RM74,067 setahun).

• Bumiputera hanya memiliki 26.1% aset perumahan di Malaysia sementara bukan
Bumiputera memiliki 63.3% walaupun populasi Bumiputera 3 kali lebih besar daripada
bukan Bumiputera.

• Ekuiti Bumiputera telah menurun kepada 10% hingga 16% dalam masa 3 tahun kebelakang.

• Malaysia mempunyai Nisbah Hutang terhadap KDNK tertinggi di ASEAN dan tempat ke 2
di Asia.

• Sumbangan fiscal untuk rangsangan ekonomi akibat COVID-19 hanyalah sebanyak 5.2% daripada KDNK yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Thailand yang
mempunyai kadar sebanyak 11.4% dan Singapura 18.4%.

Walaupun kita teruja dengan pelbagai perkembangan positif berkaitan isu politik di negara kita, namum kes Covid-19 tetap dalam keadaan yang membimbangkan, setiap hari kita dapat melihat laporan yang diberikan, jumlah kematian harian seramai lebih kurang 400 orang . Jumlah kematian harian ini boleh di samakan seperti tiap hari berlakunya nahas pesawat penumpang cuma bezanya ia kurang mendapat perhatian media. Ini jelas menunjukan keadaan yang bakal mendatang amat membimbangkan seluruh isi rumah.

Persatuan dan Kumpulan PKS telah banyak meyuarakan isu ini di media arus perdana dan media sosial. Malah telah disuarakan ke pihak kementerian yang bertanggungjawab berkenaan hal dan isu yang dialami PKS hari ini. Di sebalik keprihatinan yang telah ditunjukan di media sosial oleh kebanyakan pemimpin ia tidak dapat menafikan juga bahawa rangsangan atau bantuan ekonomi yang ada kurang berkesan serta
tidak mencukupi (PSU,GKP,BPR) walaupun dana yang diberikan berjumlah ratusan billion, di mana lebih dari 100 billion di ambil dari dana KWSP dan moratorium . Malah GKP 4.0 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini menunjukan kerajaan sedar dengan hal ini.

Walau apa pun kita tidak boleh berputus asa dan mesti meneruskan kehidupan. Kita mesti
meletakkan harapan dan terus berharap bahawa Kerajaan hari ini yang telah mendapat sokongan daripada YDPA dan seterusnya diabsahkan di Parlimen, dengan sepenuh kuasanya dapat menumpukan seluruh usaha dan tenaga pada 7 fokus yang amat penting, ia harus terbahagi kepada 2 jenis tindakan penting iaitu tindakan jangka pendek dan jangka panjang dan ini juga bakal menentukan bukan sahaja apa yang akan berlaku dalam 6 bulan akan datang tetapi juga menentukan apa objektif Belanjawan 2022 , mengambil aspirasi RMK12, termasuk kesinambungan reformasi ekonomi untuk RMK13 supaya semua selari dengan intipati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030:
A. Bantuan Khas & Penyelamat Covid-19 (6-18 bulan)
Ini mesti merangkumi 6 hingga 18 bulan subsidi gaji dan Dana pusingan khas untuk
PMKS (Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana) dengan pemindahan tunai lebih
banyak untuk B20 ditambah dengan strategi percukaian baru.

B. Strategi FDI baru
Terdapat terlalu banyak kebergantungan pada FDI berdasarkan eksport ketika kita
harus mempromosikan dan memberi insentif kepada Pelaburan Domestik Langsung.
Kita perlu memastikan yang kita mendapat pelaburan asing yang tidak hanya mahukan
tenaga kerja murah dari tenaga kerja bukan rakyat Malaysia.

Pelaburan Asing baru bukan hanya untuk menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi, tetapi juga membuka peluang besar bagi PMKS, modal insan dan juga sumber-
sumber yang lain. Prasyarat yang terperinci mesti merangkumi pemindahan teknologi sebenar dan mencipta pekerjaan yang bermakna bagi rakyat Malaysia. Malah yang paling penting, Kerajaan mesti menunda dan mengabaikan ratifikasi CPTPP & RCEP dan
menumpukan perhatian pada perdagangan dua hala dengan semua ekonomi utama.
Secara logiknya kita memerlukan lebih banyak proteksionisme sebagai sebahagian
daripada langkah-langkah dasar selepas Covid-19 dan keduanya mungkin dapat
memberi kesan kepada kempen “Buy Malaysia first”.

C. Strategi Upah & Jaminan Pekerjaan
Kerajaan perlu meneliti cadangan Jaminan Pekerjaan dan tidak menangguhkan
kenaikan gaji minimum & upah, Sudah tiba waktunya untuk kita mengerakkan kesatuan
untuk memastikan rundingan gaji antara pekerja dan majikan lebih bermakna.
Sudah tiba masanya untuk memberi insentif atau menghukum syarikat yang tidak
mengikuti nisbah keuntungan korporat dan Gaji Pekerja yang lebih adil.

D. Strategi Percukaian
Kita tidak boleh TIDAK mengenakan Cukai Durian Runtuh bagi Syarikat Perbankan dan
Syarikat Industri sarung tangan yang mendapat banyak keuntungan dari wabak ini seperti yang telah dilaksankan sebelum ini kepada Syarikat Perusahaan Kelapa Sawit. Mengapa tidak memperkenalkan semula GST pada kadar 1% bermula tahun 2022 sebelum menaikkannya pada tahun 2023? Mungkin boleh memperkenalkan Cukai Kekayaan & Cukai Warisan untuk mempromosikan Pelaburan Domestik Langsung.

Kita harus Memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal pada kadar 1% tetapi kurangkan
Cukai Korporat untuk PKS untuk tahun 2022. Ini akan membolehkan kita menganalisis
dengan lebih baik keperluan Percukaian kita dan siapa yang harus dikenakan cukai
pada tahun 2023. Selain itu cadangan untuk meningkatkan kadar Cukai pendapatan peribadi untuk 5% golongan T-20 terkaya di Malaysia wajar dipertimbangkan.

E. Pekerja Asing
Ini adalah masa terbaik untuk membuat keputusan berkenaan pekera asing, Kerajaan
mesti membuat pendirian dasar yang jelas dan mengurangkan kebergantungan kepada
pekerja asing dalam 2 tahun yang merangkumi pemberian pemutihan kepada semua
pekerja asing tanpa izin untuk melengkapkan keperluan ekonomi semasa ketika ini.
Kerajaan tidak boleh membawa lebih ramai pekerja asing atau meningkatkan kos levi
untuk mengimport pekerja asing di saat dan ketika jutaan rakyat hilang pekerjaan.

F. Dasar Kewangan
Dengan keuntungan sebelum cukai yang mencecah berbilion-bilion Ringgit untuk
kebanyakan bank Komersil dan pendirian Bank Negara yang enggan untuk berfikir di
luar buku teks ekonomi klasik, mungkin sudah waktunya untuk memperkenalkan Perbankan Awam & Perbankan Komuniti yang tidak berlandaskan riba. Amat malang
apabila Bank Traditional kita lebih memberi tumpuan untuk memperoleh keuntungan
besar ketika krisis ini. Cadangan yang wajar dikaji adalah Perbankan Awam.

Perbankan Awam akan mengambil alih fungsi pemberi hutang daripada Bank Kormersial sekaligus mengawal penghasilan kredit dalam pasaran. Menaik taraf wang fiat kita menjadi wang berdaulat yang bersandarkan pada komoditi akan menghasilkan kestabilan kewangan. Malah kita juga harap Kerajaan boleh mempertimbangkan Pelupusan Hutang untuk jumlah faedah yang terkumpul daripada semua pinjaman isi rumah seperti yang dilakukan di negara Jerman pada masa lalu selepas Perang Dunia Kedua. Mungkin sudah tiba waktunya polisi ini termasuk perubahan dasar Monetari diutamakan untuk mencapai kesan pengganda ekonomi sebenar dan bukan sekadar menjaga institusi kewangan swasta, atau pengikitirafan “rating agency” lebih tinggi dengan mengorbankan Rakyat dan kemampuan kita untuk pulih.

G. Polisi Pembangunan Bumiputera yang lebih baik
Sebagaimana mana yang dicadang Dr Lee Hwok Aun, sudah tiba masa kita memberi
perhatian yang lebih luas polisi berasaskan identiti yang merangkumi Bumiputera, wanita dan sebagainya daripada melayan pihak yang ingin memansuhkan dasar yang
berasaskan kaum atau bangsa, Kenapa perlu kita apologetik dan berdebat? Sebaiknya
semua perlu menerima dasar yang ada dan bekerja untuk memastikan ia berkesan, dan
bukan yang terpengaruh dengan desakan supaya dasar berasaskan keperluan (need
based) menggantikan dasar berdasarkan tindakan afirmatif bersasar kepada mana mana kumpulan.(rujukan dari :https://fulcrum.sg/transforming-malaysias-elephant-in-
the-room-conflict-consensus-or-cop-out/)

Ketika ini kita sedang bekerjasama erat dengan semua pemegang taruh ekonomi di dalam
kerajaan dan masyarakat untuk memastikan beberapa idea ini dapat dipertimbangkan secara serius. Dalam setiap krisis, peluang juga akan tiba, Kami berharap Kerajaan tidak mensiakan peluang pada masa ini untuk melaksanakan “reset” pada beberapa keadaan ekonomi secara radikal untuk memberi manfaat kepada Rakyat termasuk Bumiputera.

Kita tidak mampu lagi untuk mengharungi perkara yang sama lagi, menyamar sebagai percubaan baru yang dibenarkan oleh peruntukan belanjawan yang besar dan bukannya hasil, slogan yang indah tetapi dengan kesan yang terhad meninggalkan pembaharuan ekonomi, Jika tidak, tiada yang dapat kita tunjukkan dalam beberapa tahun akan datang di mana orang kaya akan menjadi lebih kaya tetapi golongan yang besar yang
lain tetap dalam keadaan yang sama atau lebih teruk dan kedaulatan serta kemerdekaan kita bakal akan dicabar sekiranya ia berlaku.

Ahmad Yazid Othman 
Felo Kanan 

Pendapat ni adalah pendapat peribadi Felo Kanan MTEM yang disokong MTEM. Penulis
merupakan seorang aktivis masyarakat yang juga seorang usahawan teknologi yang berpusat di Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan mantan CEO MTEM dan masih sebahagian daripada penyelidik di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Beliau juga aktif bersama NGO ekonomi dan NGO Melayu Islam.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast