Covid-19 cases
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes kematian sebanyak 278 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 25,437 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 16,430 kes sembuh direkodkan dengan kes kumulatif 2,005,942 kes atau 90.8 peratus, manakala kes baharu menurun kepada 10,959 kes (2,209,194 kes kumulatif).

Menurut beliau, kes import pula melibatkan 12 orang iaitu dua warganegara dan 10 bukan warganegara, manakala kes tempatan ialah 10,947 kes (10,150 warganegara atau 92.7 peratus dan 797 bukan warganegara atau 7.3 peratus).

Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 980 kes iaitu 862 kes Covid-19, 118 kes suspected, probable dan kes dalam siasatan.

“Ini tidak termasuk kes yang memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 579 kes iaitu 378 kes Covid-19, 201 kes suspected, probable dan kes dalam siasatan.

“Manakala jumlah kluster yang direkodkan sehingga semalam ialah 5,432 kluster dengan jumlah kluster baharu sebanyak 19 kluster dan jumlah kluster yang telah tamat ialah 4,267 kluster.

“Jumlah kluster aktif ialah 1,165 kluster,” katanya dalam kenyataan situasi semasa jangkitan Covid-19 kepada media, hari ini.

Kata Dr. Noor Hisham, daripada 10,959 kes positif hari ini, sebanyak 205 kes atau 1.9 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5 serta 10,754 kes atau 98.1 peratus melibatkan pesakit daripada kategori 1 dan 2.

Beliau menasihat orang orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup, malah pemakaian pelitup muka berganda sangat digalakkan.

“Patuhlah kepada SOP sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.

“Dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi, malah perlindungan untuk semua bermula daripada diri sendiri.

Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). – MalaysiaGazette