Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech kepada pelajar sekolah dalam program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Management and Science University (MSU), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penubuhan institut ini bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

”Kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital, untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk menjelang tahun 2025.

”Kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK12,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-12 hari ini.

Selain itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah.

Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan juga akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.

“Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif, akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada,” ujar beliau.

Menurut beliau, Dasar Kesihatan Negara akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan.

Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, juga membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast