Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi fokus utama kepada Sabah dan Sarawak menerusi pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) memberi khabar gembira kepada keseluruhan rakyat di dua negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui RMK-12 ini, bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk Dayak akan mendapat tumpuan lebih besar dan diberi akses kepada pembangunan yang seimbang.

Menurutnya, daripada pengumuman itu juga ia jelas menunjukkan hasrat kerajaan untuk membangunkan serta merapatkan jurang sosioekonomi termasuk pendidikan di Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat ‘Keluarga
Malaysia’.

“Perdana Menteri jelas menyebut, satu daripada sembilan fokus utama dalam RMK-12 menyentuh dua negeri ini iaitu ‘Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun’.

“Antara yang disebut adalah komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan serta keselamatan.

“Selain itu, antara yang penting adalah pembinaan jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 kilometer Lebuhraya Pan Borneo.

“Kita juga gembira apabila kerajaan memperuntukkan RM4.09 bilion kepada Sarawak bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMK-12.

“Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, meneliti RMK-12 itu, beliau berpuas hati melihatnya kerana ia jelas, teratur dan merangkumi semua peringkat serta golongan rakyat, tidak hanya kepada Sabah dan Sarawak tetapi seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya bersama-sama memastikan segala perancangan yang digariskan di bawah RMK-12 dapat dilaksana dan direalisasikan dengan jayanya.

Ujarnya, rakyat tidak mahu ia hanya indah khabar dari rupa dan kelihatan cantik di atas kertas, sedangkan pelaksanaannya nanti tidak selancar dan sesempurna seperti diharapkan.

“Kita juga tidak mahu kerenah birokrasi kelak membantutkan kejayaan pelaksanaan RMK-12 ini. Kita mahu di peringkat pelaksana, termasuk agensi dan jabatan, berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan pelan ini, selain mengelak daripada bersikap ‘little Napoleon’ yang akan menjejaskan usaha kerajaan.

“Hal ini selaras pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan memperkenalkan Indeks Tadbir Urus Malaysia bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, dalam menjayakan RMK-12.,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan sudah mempunyai perancangan yang hebat, namun, semestinya kejayaan nanti banyak bergantung kepada pelaksanaannya.

Katanya lagi, RMK-12 itu membabitkan proses penyediaan dan perbincangan lebih awal semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) antara Perdana Menteri dan anggota Kabinet yang secara langsung memberi input dan maklum balas.

“Adalah penting untuk semua pihak sedar bahawa ini adalah pelan untuk jangka masa lima tahun, justeru sesiapapun yang membentuk kerajaan selepas ini diharap meneruskan pelaksanaan RMK-12 ini bagi memastikan sasarannya dapat dicapai demi kebaikan rakyat dan negara.

“Sebagai wakil rakyat Sarawak, saya memberi jaminan selagi saya berada di dalam pentadbiran Kerajaan, saya akan bertindak proaktif dalam membantu dan memudah cara pelaksanaan RMKe12 ini,” katanya. – MalaysiaGazette