Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil langkah lebih tegas memperkukuhkan Ops Benteng bagi mengekang pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam fokus utama kerajaan memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara langkah itu ialah melaksanakan Sistem Pemantauan Laut Polis Marin di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu di Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak di Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim.

Selain itu, katanya, kem tentera baharu yang dibina di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dalam tempoh RMKe-12.

Menurut beliau, kerajaan akan memperkenalkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.

“Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara adalah perkara asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia.

“Antara inisiatif yang akan dilaksana merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkat ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota.

“Saya akan pastikan langkah lebih tegas akan diambil untuk melaksanakan pelan menyeluruh dan memperkukuh Ops Benteng bagi mengekang Pati,” katanya ketika membentangkan usul mengenai RMK-12 2021-2025: Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bagi memastikan kebajikan anggota tentera dan penguatkuasa terbela, sebanyak 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMK-12 ini.

Mengenai fokus kelima kerajaan, Perdana Menteri berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu telah meningkatkan kadar kemiskinan sehingga menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah seterusnya menghimpit keluarga dalam kesempitan hidup.

Justeru, katanya, pelbagai pihak termasuk CSO, badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri sentiasa prihatin dan menyokong kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan.

“Bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kita perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai oleh beberapa negara lain. Maka, inisiatif  membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu melalui pendekatan keseluruhan negara.

“Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan. Mereka bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan CSO.

“Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada tahun 2025,” katanya.

Kata beliau, usaha lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan kepada mereka yang layak.

Malah, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar dengan kos RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

Kata Ismail, kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan itu dan menyeru sektor korporat serta orang perseorangan untuk membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan.

Sekecil manapun, ujar beliau, bantuan yang dihulurkan termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf, jika digembleng akan membawa manfaat yang besar.

“Kemiskinan hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan dan dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

“Dalam aspek kesihatan pula, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas, manakala isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat.

“Untuk tujuan itu, isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan.

“Mereka juga akan digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar.

“Selain itu, kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan,” katanya. – MalaysiaGazette