KUALA LUMPUR – Pemenang Kasut Emas Liga Super musim 2018, Rufino Segovia kembali beraksi secara kompetitif apabila menyertai kelab divisyen ketiga saingan liga bola sepak Sepanyol, Marbella FC.
Perkara ini dikongsikan oleh Marbella FC menerusi pengumuman di media sosial rasmi pasukan itu bahawa Rufino menandatangani kontrak sehingga Jun 2022.
Kali terakhir Rufino beraksi secara kompetitif ialah pada musim 2020 bersama Selangor sebelum dia dilepaskan, sekali gus menjadi ejen bebas.
Pada musim 2019, kecederaan buku lali menganggu rentak Rufino Segovia bersama Selangor dan beliau berehat sehingga penghujung musim.
Musim 2020, bekas pemain Atletico Madrid itu cergas sepenuhnya namun prestasinya tidak seperti musim sebelumnya.
Marbella FC ketika ini menduduki tangga ke-10 dalam carta kumpulan sembilan saingan divisyen tiga Sepanyol dan kehadiran Rufino dilihat mampu meningkatkan prestasi pasukan khususnya di bahagian serangan ekoran pengalaman luas yang dimilikinya. – MalaysiaGazette