Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan langkah utama akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambah baik sistem pendidikan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Langkah-langkah itu adalah dengan memperkukuhkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Selain itu, persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak empat kompleks sekolah dan lima buah sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.

“Program TVET akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET.

“Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET juga akan dibangunkan,” katanya ketika membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel akan diwujudkan dan kerjasama dengan industri dipertingkat bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.

Pelan pendidikan digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi turut akan diperkenalkan bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti.

Malah, naik taraf kemudahan beberapa universiti awam akan dilakukan membabitkan UiTM, UKM, UM, USM dan UUM.

Menurut Ismail Sabri, sepanjang tempoh rancangan itu, kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan dengan menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi, menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi, mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

Katanya, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

Selain itu, Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.
”Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan yang baharu,” ujar beliau.

Tambahnya, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi, yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, terutama sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing.

Bagi mengatasi isu ini, industri perlu meningkatkan penggunaan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran.

Katanya, dalam tempoh jangka panjang, jumlah pekerja asing dalam tenaga kerja dihadkan kepada tidak melebihi 15 peratus, oleh itu penguatkuasaan berkaitan pekerja asing akan diperkukuh bagi menyokong dasar ini. – MalaysiaGazette