foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memberi jaminan akan mengurangkan kerenah birokrasi kerana mahu sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, kerajaan juga mahu menyediakan infrastruktur berkualiti dan berdaya harap, memperkukuhkan ekosistem yang menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus pertama ini tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan.

Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.

Menurut beliau, pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau.

Katanya, dasar perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti.

Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), sektor pembuatan pula dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global.

Manakala sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara dan sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju, merangkumi realiti terimbuh dan realiti maya sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti.

Sektor perlombongan pula akan memberi penekanan kepada pengeluaran mineral diproses yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, aktiviti perlombongan yang lestari dan penghasilan bahan mineral baharu.

Pertumbuhan produktiviti akan dilonjakkan melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.

Ismail Sabri menambah, perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan dan meningkatkan daya saing industri eksport utama.

Selain itu, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Tambah beliau, Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) akan dijadikan kerangka utama bagi menarik pelaburan berkualiti dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

Insentif sedia ada akan disemak semula, untuk memberi fokus kepada pelaburan yang berasaskan teknologi termaju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar.

Ini akan dapat menyokong hasrat negara untuk mempercepat peralihan kepada industri berteraskan pembuatan termaju, atau advanced manufacturing tanpa menjejaskan alam sekitar. – MalaysiaGazette