KUALA LUMPUR – Persekitaran Malaysia yang tidak kondusif bukan menjadi punca tindakan syarikat-syarikat asing yang menarik keluar pelaburan dari negara ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, rasionalisasi perniagaan sesebuah syarikat menjadi faktor yang mendorong syarikat itu bertindak sedemikian.
Tegas Azmin, Malaysia sebenarnya masih lagi kekal kompetitif dan berdaya saing dalam menarik pelaburan-pelaburan ke dalam negara.
“Cuma yang harus kita ingat tindakan syarikat-syarikat ini sebenarnya adalah berdasarkan kepada faktor rasionalisasi perniagaan syarikat dan bukannya berpunca daripada persekitaran pelaburan negara yang tidak kondusif.
“Pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan syarikat-syarikat untuk memilih destinasi antaranya kos buruh yang rendah dan saiz pasaran domestik,” katanya bagi menjawab soalan tambahan (DAP-Fong Kui Lun) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sebelum itu, Kui Lun meminta kerajaan menjelaskan adakah pelabur asing yang telah menarik pelaburan dari Malaysia sewaktu pandemik Covid-19 akan kembali ke negara untuk melabur seperti sebelum ini.
Berikutan itu, jelas Azmin lagi, kerajaan akan terus mempergiat usaha untuk menarik para pelabur untuk masuk ke negara. – MalaysiaGazette