Mohamad Sabu. foto AFIQ RAZALI, 07 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menyelesaikan isu penjualan kad pengenalan (IC) dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dengan sebaik mungkin.

Menurut bekas Menteri Pertahanan Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu, isu itu amat besar kesannya kepada keselamatan negara jika tidak ditangani oleh kerajaan.

“Kalau tidak ditangani dengan baik, apakah Malaysia akan dipengaruhi oleh kuasa-kuasa tertentu untuk menguasai pentadbiran atau beri pengaruh kepada kerajaan.

“Misalnya penangkapan terhadap ketua penyelidik JPN, pendakwaan kepada Hasanah, kita tidak tahu berapa jumlah wang yang ditangkap, ada yang menyatakan AS$12 juta dan ada yang kata RM12 juta, soalnya ia melibatkan badan siasatan jenayah kita iaitu polis dan SPRM.

“Sudah tentu perkara ini amat besar apabila dikatakan agen perisik negara asing yang membiayai orang yang disebutkan tadi, kita harap kerajaan jangan tutup isu ini sebab perkara ini cukup penting kerana ia memberikan impak yang besar kepada keselamatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengakhiri perbahasan berhubung Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Awal hari ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan ia menerima laporan berhubung dakwaan penjualan pangkalan data mengandungi empat juta maklumat peribadi rakyat Malaysia di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.

Terdahulu, Lowyat.net melaporkan pangkalan data dipercayai milik JPN dijual di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, isu kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta) yang dimilik Hasanah juga perlu dipandang serius memandangkan beliau merupakan penjawat awam yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.

“Perkara ini jangan dipandang ringan, siasatan hendaklah menyeluruh perlu didedahkan kepada Kabinet dan rakyat sebab ianya amat penting kepada kita semua.

“Bagi saya yang berbahaya apabila orang bertaraf sebegitu rupa boleh dikatakan menerima wang dan bagaimana pula katanya SPRM pula yang simpan wang.

“Semua itu spekulasi yang kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya, siasatan menyeluruh mestilah dibuat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas Hasanah membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018 hilang.

Tiga anggota SPRM yang menjadi suspek berkhidmat dalam unit siastan khas mengendalikan kes Hasanah. – MalasyiaGazette