Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Isu kebocoran data peribadi awam yang didakwa berlaku di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut disentuh di Dewan Rakyat hari ini.

Ia apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) bangun mengemukakan usul di Dewan Rakyat mengenai kecurian empat juta data awam daripada pangkalan data JPN.

Rayer yang merujuk kepada Perkara 18(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, wakil rakyat DAP itu berkata, ia perkara yang menarik perhatian ramai dan perlu disegerakan.

“Siasatan awal mendapati bahawa perkara ini disebabkan oleh kerja ‘orang dalam’ iaitu kakitangan JPN yang telah membocorkan maklumat berkenaan empat juta rakyat Malaysia.

“Ia melibatkan alamat, nombor telefon, butiran peribadi. Bagaimana kebocoran ini berlaku?” soalnya.

Rayer turut mahu isu itu dibahaskan dengan segera.

Setelah mendengar usul berkenaan, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon terus meminta Rayer mengemukakan pemberitahuan bersurat kepada Yang di-Pertua, Datuk Azhar Azizan Harun untuk dipertimbangkan dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat.

Siang tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din mengesahkan satu kertas siasatan dibuka polis berhubung kejadian kecurian empat juta data awam daripada pangkalan data JPN yang dipercayai dijual di sebuah forum jual beli terkenal.

Malah laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Pengarah JPN di Balai Polis Percint 7, Putrajaya pada 27 September lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 bagi menyiasat lanjut dan mengesahkan berlaku penggodaman atau tidak.

Hari ini, sebuah Forum Perbincangan Digital lowyat.net mengeluarkan maklumat kononnya pengkalan data JPN ketika ini tersenarai untuk dijual dalam forum pasaran pangkalan data terkemuka pada harga sekitar RM35,500 yang merangkumi empat juta data peribadi awam rakyat Malaysia yang lahir dari tahun 1979 hingga tahun 1998. – MalaysiaGazette