Ahli Parlimen Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa membelanjakan lebih RM2 bilion untuk menyiapkan Buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa,  peruntukan itu disalurkan kepada konsultan luar negara sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian, termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan Buku RMK-12.

“Saya difahamkan lima tahun dulu telah dibelanjakan RM1.8 bilion (kepada konsultan luar).

“Jadi saya nak tanya, lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan Buku RMK-12 ini, mungkin sebahagiannya (kandungan kajian) kita boleh guna pakai.

“Tetapi saya masih yakin, maklumat dan perancangan dalam negara boleh dan mampu dikendalikan oleh kepakaran dalam negara kerana mereka lebih faham masalah dalam negara.

“Siapa boleh faham masalah kemiskinan dan kesenjangan dalam negara, bukan pakar-pakar konsultan luar,” katanya ketika membahaskan RMK-12 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

RMK-12 yang mempunyai Empat Dasar, empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan itu dibentang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Menerusi RMK-12, kerajaan, jelas Perdana Menteri, kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dengan menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan memperuntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion dalam RMK-12, selain menjangkakan ekonomi negara pulih.

RMK-12 juga disasarkan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun setelah mengalami penurunan akibat penularan Covid-19 sejak tahun lalu. – MalaysiaGazette