KUALA LUMPUR – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu kembali dilaksanakan dengan segera, apabila negara pulih daripada pandemik Covid-19 demi mengurangkan jurang pendapatan, matlamat menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, selain memberi ruang untuk menurunkan cukai korporat dan cukai peribadi, sistem GST merupakan cukai dipadankan dengan pakej bantuan rakyat apabila hasilnya akan dapat diagihkan dalam bentuk bantuan tunai.
Tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, sistem GST mensasarkan penguncupan ekonomi gelap.
“GST juga akan mensasarkan ekonomi gelap dengan saiznya sebesar RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas dari membayar apa-apa cukai. Dengan GST, saiz ekonomi gelap dapat dikuncupkan, yakni dianggarkan dari 25 peratus KDNK kepada 10% peratus.
“Dengan ini, kutipan-kutipan hasil GST ini mampu diagihkan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding nilai GST yang dibayar mereka,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, Najib berkata, sehingga kini masih wujud persepsi negatif terhadap GST sebagai punca kenaikan harga barang walaupun telah dimansuhkan sejak tiga tahun lalu.
Namun beliau sekali lagi menegaskan bahawa persepsi tersebut tidak benar, sebaliknya berkata, cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menaikkan harga barangan lebih ketara berbanding GST.
“Perlu disedari GST adalah cukai penggunaan ataupun “consumption tax”. Lagi tinggi perbelanjaan seseorang, lagi tinggi jumlah bayaran GST. Golongan kaya dan berkemampuan yang akan berbelanja lebih, akan membayar lebih GST.
“Ini berlawanan dengan propaganda yang telah menyebabkan sebahagian daripada rakyat termakan hasutan kononnya GST lebih memangsakan pendapatan rendah dan menyebabkan kenaikan harga barang-barangan. Hakikatnya adalah sebaliknya GST menyumbang kepada fiskal kerajaan dan lebihan pendapatan hasil kerajaan itu dipulangkan kepada rakyat terutama sekali golongan B40 dan M40.
“Disamping itu, apabila hasil negara meningkat saya berkemampuan untuk mengumumkan satu Kenaikan Gaji Tahunan Khas (KGTK) untuk semua penjawat awam pada tahun 2018 bererti pada tahun itu sepatutnya penjawat awam menerima dua kali kenaikan gaji tahunan,” kata Najib.
Sementara itu, Najib menyatakan enam teras utama untuk menyokong RMK-12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, semalam.
Antaranya membantu rakyat membina kekayaan menerusi tiga cadangan iaitu menaikkan pendapatan melalui ‘active income’, menambah ‘passive income’ dan meningkatkan ‘disposable income’ dengan mengurangkan kos sara hidup bulanan.
Pada masa sama beliau turut mencadangkan agar bank-bank memperkenalkan produk-produk mesra pembelian saham untuk membiayai sehingga 70 peratus pembelian, dengan hanya kadar caj perkhidmatan sebanyak 3 peratus setahun.
“Ini untuk setiap rakyat yang berhasrat melabur dalam senarai saham di Bursa Malaysia, yang dibenarkan dan disyorkan oleh bank dan penganalisis pasaran
“Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi. Rakyat mampu mencipta kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos pinjaman bank,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, program-program digemari rakyat umpamanya Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain perlu diperkenalkan semula dengan penambahbaikan aspek tertentu.
“Kalau nak dijenamakan semula pun boleh. Sebagai contoh Klinik 1Malaysia boleh diperkenalkan sebagai Klinik Keluarga Malaysia.
“Selain itu, projek infra-rakyat pengangkutan awam mampu mengurangkan kos pengangkutan bulanan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan produktiviti rakyat.
“Sebab itu, usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang moden, efisien, mampu-guna dan diyakini atau ‘reliable’ perlu diteruskan,” kata Najib lagi.-MalaysiaGazette