KUALA LUMPUR – Penggubalan dasar berasaskan bukti atau evidence based policy  (EBP) dijangka mampu mengembalikan momentum pertumbuhan dan melonjakkan pertumbuhan produktiviti negara ke tahap yang lebih tinggi.

Penggunaan pendekatan EBP akan menambah baik keberkesanan dasar dan program dengan memanfaatkan penyelidikan dan kajian sedia ada. Penerimagunaan EBP akan disokong dengan penubuhan rangkaian khusus untuk memudahkan penyelidikan berkaitan produktiviti.

Pengumpulan data mikro, termasuk pembangunan data yang menghubungkan majikan dan pekerja juga akan diperkukuhkan.

Keperluan membangunkan rangka kerja perkongsian data yang mesra pengguna amat penting bagi penggubalan dasar berasaskan bukti.

Dasar dan peraturan adalah elemen penting dalam pencapaian pertumbuhan produktiviti negara bagi mengimbangi kesejahteraan masyarakat dan pada masa yang sama tidak mengekang pertumbuhan ekonomi.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman menyambut baik dan menyokong usaha meningkatkan produktiviti negara melalui penekanan kepada penggubalan dasar bersasaskan bukti seperti yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pengumuman RMKe-12.

Menurutnya, dasar dan peraturan yang cekap adalah amat penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing dan produktif ketika negara menuju ke arah pemulihan.

“Peranan MPC dalam menyediakan akses dan kerjasama dengan badan penyelidikan dalam dan luar negara juga akan diperkukuhkan bagi menyokong usaha kerajaan menerapkan penggubalan dasar berasaskan bukti,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMke-12) di Parlimen semalam berkata, pertumbuhan produktiviti akan dilonjakkan melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.

Merujuk RMke-12 yang dibentangkan, kerajaan akan memperkukuhkan mekanisme perancangan, penilaian dan pemantauan bagi mengembalikan momentum pertumbuhan untuk pasca pandemik lima tahun akan datang.

Abdul Latif menambah, kerjasama juga akan diperluaskan ke peringkat kementerian dan agensi bagi menyebar luas usaha pelaksanaan penggubalan dasar yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang mampan.

”MPC juga akan terus menjalinkan kerjasama dengan institusi penyelidikan antarabangsa seperti Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) bagi membantu penggubalan dasar dan peraturan berdasarkan data-data terpilih,” tambah beliau.

Bagi memperluaskan liputan pelaksanaan program peningkatan produktiviti pada peringkat sektor, tambahan dua Nexus Produktiviti baharu iaitu sektor Pembinaan dan Perkhidmatan Logistik yang diumumkan dalam RMke12 dijangka mampu melonjakkan produktiviti negara.

Dua sektor ini menyumbang sebanyak 7.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 12.9 peratus kepada jumlah guna tenaga pada tahun 2020. – MalaysiaGazette