Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988 yang mengharamkan UMNO tidak pernah dicabar mana-mana pihak hanya kerana takut kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah mendakwa, tidak hairanlah jika tiada seorang peguam pun berani berbuat demikian kerana pengaruh kuat Dr Mahathir.

“Saya rasa keadaan tidak mengizinkan, oleh kerana pada masa itu pimpinan negara begitu kuat, pengaruhnya luar biasa.

“Orang semua naik takut oleh kerana berlakunya pemecatan ketua hakim negara dan tiga hakim Persekutuan pada ketika itu.

“Menakutkan orang, pegawai-pegawai kerajaan pun diturun pangkat dan sebagainya.

“Raja pun kekebalannya dikurang, dibuang dengan pindaan Perlembagaan yang dilakukan oleh pemimpin ketika itu,” katanya dalam program Owh MG terbitan MalaysiaGazette, semalam.

Tengku Razaleigh berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuat lebih ramai takut untuk mempertikaikan tindakan Dr Mahathir ketika itu.

Katanya, ia menyebabkan tiada sesiapa berani bertindak dan beliau tidak tahu mengapa peguam tidak membangkitkan soal ini ketika itu.

“Kemudian ada pula ISA, undang-undang yang boleh mencekup sesiapa tanpa beri notis nak ditahan dan sebagainya. Jadi orang naik takut, tak siapa berani nak bertindak.

“Ya, seolah-olahnya (takut kepada Dr Mahathir) begitulah dan media pun dikawal, tak bebas nak menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast