Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawainya yang terlibat dalam sindiket perjudian atau jenayah lain.

Sebaliknya, mereka yang terlibat dalam jenayah tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, itu adalah akujanji yang diberikan pasukannya kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim dalam memastikan perang terhadap jenayah diambil dengan serius.

“Kerjasama dan komitmen tinggi setiap anggota dan pegawai polis penting untuk memerangi sindiket perjudian dan jenayah lain secara holistik dalam menjamin masyarakat di daerah ini aman damai.

“Jika ada pegawai bertali barut dengan sindiket ini, mereka diumpamakan musuh dalam selimut,” katanya selepas menghadiri program pelupusan barang kes di Balai Polis Alam Damai, Cheras pagi tadi.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini tidak wujud permasalahan ini dalam kalangan anggota dan pegawai IPD Cheras kerana menyifatkan pasukannya sangat berdisiplin dan komited sepenuhnya.

Muhammad Idzam berikrar untuk membanteras sindiket perjudian dan aktiviti jenayah lain di daerah ini secara habis-habisan.

“IPD Cheras setakat ini sangat komited untuk membanteras habis-habisan aktiviti menyalahi peraturan undang-undang negara.

“Sekiranya ada orang awam yang mempunyai maklumat apa-apa aktiviti di Cheras, anda boleh hubungi lima balai polis di bawah pentadbiran IPD Cheras ini atau terus berhubung dengan saya untuk membolehkan tindakan berlunaskan undang-undang boleh dilaksanakan segera,” ujar beliau. – MalaysiaGazette