Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pagi ini diberitahu, Kementerian Pendidikan telah meluluskan sebanyak 186 projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di Sarawak dengan kos sebanyak RM1.579 bilion.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah projek dan kos itu adalah untuk tahun 2019 hingga 2021.

Kata beliau, bagi tahun 2019, sebanyak 75 projek telah diluluskan dengan kos berjumlah RM827.1 juta.

“Sehingga 22 September lalu, sebanyak 29 projek telah siap dibina, 41 projek sedang dan dalam pembinaan, manakala lima projek lagi dalam proses pra bina dengan perbelanjaan RM168.45 juta.

“Bagi tahun 2020 pula, sebanyak 52 projek telah diluluskan dengan kos RM350 juta dan sehingga 22 September lalu, enam projek sedang dalam pembinaan dan 46 projek lagi dalam peringkat pra bina,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi jawab lisan bagi pertanyaan Chong Chieng Jen (Stampin) yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan berapa sekolah daif di Sarawak telah dinaik taraf dan dipulihkan dalam tahun 2019, 2020 dan 2021.

Menurut Mohamad, bagi tahun ini pula, kementerian telah meluluskan 59 projek melibatkan kos RM402.71 juta, dengan semua projek masih di peringkat pra bina dan tiada perbelanjaan dibuat setakat ini.

“Seramai 4,027 murid dapat manfaat daripada 29 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif yang telah siap ini.

“Kita jangkakan seramai 32,141 murid akan menerima manfaat daripada 157 projek yang masih dalam peringkat pembinaan dan pra bina,” katanya.

Kata beliau, Kementerian Pendidikan, dalam melaksanakan mana-mana projek sama ada untuk menaik taraf atau menggantikan sekolah daif memerlukan laporan dan justifikasi dari semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Kita akan berbincang dan mereka akan mengemukakan kepada kementerian ini reka bentuk yang manakah sesuai dan kos manakah yang sesuai berdasarkan keperluan sekolah itu,” katanya. – MalaysiaGazette