Penggantian injap berjadual yang dilaksanakan oleh Air Selangor.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penyenggaraan secara berjadual bagi penggantian injap di tiga lokasi iaitu di Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan di hadapan pencawang pembahagi utama The Mines telah siap dilaksanakan pada jam 6 pagi tadi.

Bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat-peringkat.

Pengurusan Air Selangor berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air disarankan untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan
harian.

”Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kerja-kerja penyenggaraan secara berjadual bagi penggantian injap di tiga lokasi berkenaan dimulakan pada jam 9 malam tadi. – MalaysiaGazette