Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Ladang-ladang minyak sawit Malaysia mengalami keperluan mendesak untuk mendapatkan tenaga buruh asing pada masa ini berikutan kekurangan kira-kira 75,000 pekerja terbabit sejak tahun lepas.

Pengarah Bahagian Sains, Alam Sekitar dan Kemampanan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Ruslan Abdullah berkata pengeluar minyak sawit juga amat memerlukan tenaga buruh bagi membolehkan mereka dapat meneruskan produktiviti untuk mencapai pengeluaran 20 juta tan metrik minyak sawit mentah pada tahun ini.

Menurutnya, industri minyak sawit banyak bergantung kepada tenaga buruh, terutamanya bagi usaha penuaian yang memerlukan kemahiran sesuai.

“Setakat ini, kita tiada sebarang kemudahan jentera untuk membantu pengeluar dalam usaha tuaian buah. Oleh itu, usaha berkenaan masih perlu dilakukan secara manual.

“Dari segi kekurangan pula, ladang-ladang ini memerlukan tenaga mahir bagi tujuan penuaian dan melibatkan kepakaran untuk memilih buah yang benar-benar tepat.

“Jika sekadar menuai buah sawit tanpa kemahiran sesuai, ini akan hanya menyebabkan kerugian,” katanya pada acara webinar ‘Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) & Industri Minyak Sawit : Antara Mitos dan Realiti’ anjuran MIDF Research di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ruslan berkata usaha pengambilan pekerja asing telah dibekukan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada 18 Mac, 2020.

Susulan tempoh pembekuan itu, kalangan pekerja asing yang berada negara asal tidak dibenarkan untuk masuk semula ke Malaysia.

Beliau berkata, di samping itu terdapat inisiatif dijalankan oleh syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan untuk mengurangkan masalah kekurangan pekerja dan membolehkan pekerja asing terbabit untuk memasuki negara ini.

“Pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) misalnya ternyata agak aktif dari segi perbincangan mengenai langkah yang perlu diambil untuk membolehkan kemasukan pekerja asing di bawah keadaan semasa.

“FELDA turut mengetengahkan cadangan untuk pergi ke negara asal, Indonesia dan mewujudkan pusat vaksinasi khas untuk pekerja yang berpotensi menjadi penuai sawit dan dibawa ke Malaysia,” katanya.

Menurut Ruslan, pekerja terbabit bagaimanapun masih perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast