Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Liputan internet 4G di Sarawak kini berada pada tahap 80.84 peratus iaitu menghampiri 13.16 peratus lagi menyamai akses peringkat nasional, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, di Parlimen Julau pula, liputan 4G kini pada tahap 27.34 peratus dan terdapat kesenjangan yang besar antara Sarawak dan kawasan itu peringkat nasional.

Oleh itu, katanya, kerajaan telah mengaturkan satu program besar dilakukan di Parlimen itu meliputi kawasan yang dibangkitkan wakil rakyatnya, Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien pada sesi perbahasan baru-baru ini.

“Di kawasan Julau juga telah disiapkan perancangan untuk membina sebanyak 47 menara baharu dan 38 stesen yang telah dinaiktarafkan dengan tiga daripada sudah siap, manakala 35 stesen lagi sedang dilaksanakan.

“Selain itu, Premis Tersedia Gentian Optik iaitu premis yang mendapat khidmat gentian optik dipertingkatkan kepada 315 lagi, dengan 226 telah siap.

“Bagaimanapun, disebabkan Julau kawasan pedalaman, agak jauh dari bandar dan tempat tinggal yang agak terasing, menyukarkan kerajaan untuk membina menara melalui kaedah biasa,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Justeru, kata Annuar, kerajaan akan mengadakan jalur lebar satelit bagi kawasan itu.

Kata beliau, untuk tujuan itu sebanyak 46 projek bagi menyampaikan khidmat jalur lebar satelit telah disediakan.

“Dalam Parlimen Julau juga kita telah laksanakan program salurkan fiber optik ke kawasan sekolah supaya mendapat bekalan yang lebih stabil.

“Untuk program itu sahaja ada sebanyak 35 sekolah terlibat,” katanya.

Beliau berkata, itu menandakan Parlimen menjadi kawasan tumpuan dan semuanya akan dimulakan Oktober dan berharap dapat disiapkan sebelum akhir tahun depan.

Ini, menurut Annuar, supaya menjelang akhir tahun depan liputan 4G di Parlimen Julau menjadi setara atau hampir setara dengan taraf nasional.

Beliau juga menyatakan, kementeriannya sedar mengenai kelajuan yang dihadapi penduduk dalam kawasan berkenaan.

“Namun, soal kelajuan ini bergantung kepada jumlah pengguna pada satu-satu masa atau aktiviti yang berjalan serentak terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan kelajuan di kawasan tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette